25 June 2008

Menghadiri atau mengadakan kenduri kahwin pun perlu kebenaran?

Calon boleh hadiri kenduri kahwin, tahlil

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon yang terlibat dalam pemilihan UMNO boleh menghadiri atau mengadakan kenduri kahwin dan tahlil asalkan tidak menyalahgunakan majlis itu untuk berkempen.

Beliau berkata, laporan akhbar hari ini yang menyebut bahawa calon dalam pemilihan UMNO dilarang menghadiri majlis kesyukuran, perkahwinan dan tahlil yang dikhuatiri menggunakannya untuk meraih undi, adalah kurang tepat.

"Tentang tak boleh buat kenduri, tahlil itu tak betul. Siapa nak buat kenduri atau tahlil boleh buat. Cuma yang tidak boleh jangan gunakan majlis itu untuk berkempen, itu maksudnya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Bangunan Pantai Bharu Holdings dan pembukaan bilik pameran Chevrolet di sini petang ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai penguatkuasaan arahan itu mulai bulan depan yang melarang calon daripada menghadiri majlis keramaian seperti perkahwinan, tahlil dan kesyukuran kerana dikhuatiri digunakan sebagai taktik untuk meraih undi.

Tataetika itu juga menegah bakal calon menggunakan ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu undi bagi mengelakkan keahlian digantung dan dipecat daripada parti.

Muhyiddin berkata, lembaga disiplin UMNO boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana calon yang melanggar tata etika itu tetapi tidak akan menyekat mereka menghadiri atau mengadakan kenduri kahwin dan tahlil.

"Itu (berkempen dalam majlis) lembaga disiplin (UMNO) boleh buat tindakan tetapi untuk majlis biasa ia tidak disekat sebab ada pihak fikir dalam etika ini mereka tidak boleh adakan kenduri kahwin atau tahlil.

"Larangan berkempen sepatutnya sudah dikuatkuasakan sekarang kerana mesyuarat cawangan UMNO akan mula bersidang bulan depan dan harap ia akan dipatuhi kerana itu adalah keputusan MT," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden UMNO, Muhyiddin berkata: "Belum masanya lagi sebab (UMNO) cawangan belum mesyuarat lagi".

Di KUALA LUMPUR, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mustapa Mohamed berkata peraturan baru untuk bakal calon dalam pemilihan parti itu bukan untuk mengekang kebebasan mereka, tetapi sebagai garis panduan supaya mereka tidak terjebak dengan politik wang.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata arahan baru itu juga bagi memastikan semua kempen dan proses pemilihan parti dapat dijalankan dengan adil dan dalam keadaan terkawal.

"Ini sebagai peringatan supaya yang bertanding tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh dianggap kempen keterlaluan dan politik wang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rodeo Malaysia, sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini, hari ini.

Mengenai persiapan pameran MAHA 2008, Mustapa berkata fasiliti tetap bernilai RM280 juta yang berukuran 10,000 meter persegi di Serdang dijadual siap pertengahan bulan depan dan akan menjadi tapak pameran terbesar di negara ini.

Pameran dua tahun sekali pada 11 hingga 23 Ogos ini dijangka menjadi yang terbesar dengan penyertaan pemain industri dari luar negara.

-Bernama

No comments:

Post a Comment