Ekoran harga minyak naik, PM buat negara 'huru-hara'
Pengumuman kenaikan harga minyak oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya semalam telah menyebabkan keadaan huru-hara di ibu kota dan seluruh negara.
Selepas pengumuman tersebut, wartawan Harakahdaily yang melakukan tinjauan sekitar Kuala Lumpur mendapati semua stesen minyak di ibu kota menjadi sesak dan hampir tidak terkawal.
Tindakan para pemilik kenderaan yang berpusu-pusu mengisi minyak di stesen minyak Caltex di Jalan Pahang Barat telah menyebabkan kesesakan di Bulatan Pahang dan manakala keadaan serupa di stesen minyak Petronas di Jalan Tun Razak telah mengakibatkan kesesakan teruk di sepanjang jalan berkenaan.
Seorang petugas di stesen Caltex di Jalan Pahang yang enggan dikenali berkata, keadaan agak sukar dikawal kerana para pengguna seolah-olah diserang histeria.
"Seawal jam 5 petang kenderaan mula berpusu. Ramai yang serbu sehingga ada beberapa pelanggaran kecil dan situasi di hadapan Hospital Tawakal sesak teruk,"jelasnya.
Sementara itu, seorang penunggang motosikal yang ditemui, Birang Abdullah, 58, berkata ada pengusaha stesen yang sengaja menutup perniagaan lebih awal.
"Ini dah stesen keempat saya masuk. Sebelum ini beberapa stesen mereka tutup dan hanya dibuka satu atau dua pam sahaja.
"Bila kita soal mereka kata minyak dah habis. Mana boleh begitu, takkan baru jam 6 petang dah habis. Mesti mereka berkomplot nak jual dengan harga baru lepas tengah malam tadi," marahnya setelah gagal untuk mengisi minyak di beberapa stesen minyak sebelum itu.
Selain itu, beliau juga agak kesal kerana ada pengusaha yang menolak untuk mengisi minyak apabila beliau membawa tong minyak tambahan.
"Mana ada undang-undang kata kita tak boleh isi tong tambahan, saya bukan nak seludup hanya nak isi tong tambahan untuk motosikal saya yang satu lagi di rumah," ulasnya sambil menunjukkan sebuah tong kosong sebesar tong minyak pelincir 4 liter.
Sementara itu di jalan-jalan lain, warga kota turut mengambil peluang yang ada sehingga tengah malam tadi untuk mengisi petrol kenderaan mereka.
Kesemua stesen minyak yang terletak di sekitar bandar raya "ditawan" dalam masa beberapa minit sahaja selepas kenaikan bahan api diumumkan Abdullah.
Tinjauan juga mendapati Jalan Kuching, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Tun Razak, Jalan Bangsar, Jalan Sultan Ismail, Cheras dan Ampang antara jalan yang paling teruk mengalami kesesakan lalulintas.
Di Jalan Kuching misalnya kenderaan bergerak terlalu perlahan dalam jarak empat kilometer. Seorang pengurus stesen minyak Shell di Batu 5, Gombak, Abdul Selamat, 45, berkata beliau terkejut dengan ratusan kenderaan yang menyerbu stesen minyak itu.
"Ini adalah kali pertama keadaan seumpama ini berlaku sejak 1998. Sehingga kami terpaksa meminta lori tangki petrol datang isi simpanan petrol.
Ada juga pemilik kenderaan yang tidak sabar dan potong barisan," katanya ketika ditemui di sini.
Kesesakan lalulintas ini menyebabkan polis trafik terpaksa ditugaskan bagi mengawal keadaan di beberapa jalan yang sesak teruk.
Ada juga kenderaan yang kehabisan petrol, akibat terperangkap terlalu lama dalam kesesakan lalulintas dan ada juga yang berlanggar sesama sendiri untuk berebut mengisi petrol.
Sementara itu sebuah stesen minyak di Taman Melawati terpaksa ditutup selepas kehabisan petrol.
Di PULAU PINANG, Bernama melaporkan sejam selepas Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel, hampir kesemua stesen minyak di negeri ini diserbu pengguna yang mahu mengisi tangki minyak kenderaan mereka sebelum pukul 12 malam ini.
Tinjauan di beberapa stesen minyak mendapati kenderaan beratur panjang sehingga menimbulkan kesesakan lalulintas yang teruk antaranya di Jalan Perak, Jalan Datuk Keramat, Jalan Argyll dan Jalan Anson.
Petugas di stesen minyak juga dilihat sibuk melayan pelanggan manakala pemandu yang tidak tahu mengenai kenaikan harga petrol dan diesel berkuatkuasa esok kelihatan terpinga-pinga melihat kesesakan di stesen berkenaan.
Seorang pesara polis, Harun Ismail, 56, menyifatkan kenaikan harga petrol secara mengejut itu amat melampau dan membebankan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.
Harun, yang mengetahui mengenai kenaikan harga itu melalui berita TV petang ini, bergegas ke stesen berhampiran untuk mengisi tangki keretanya.
"Saya baru tengok berita petang ini. Kalau tanya semua pengguna pun mereka akan kata kenaikan ini sangat melampau.
Pengumuman dibuat tiba-tiba sahaja dan ini membebankan orang ramai terutamanya pesara macam saya," katanya.
Seorang kakitangan penjara, Suhaimi Ismail, 27, yang kebetulan berada di stesen minyak Jalan Perak terkejut melihat deretan kenderaan menunggu giliran.
Kakitangan MAS Kargo, Rahmat Abdul Majid,35, pula kesal dengan pengumuman itu kerana baru sahaja dimaklumkan bahawa kenaikan itu mungkin pada bulan depan atau Ogos ini.
"Ini melampau. Kata nak naik bulan Julai atau Ogos tetapi tiba-tiba sahaja umum esok akan naik harga.
Kerajaan perlu pantau balik keadaan ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim ketika dihubungi mahu kerajaan mencari jalan yang lebih efektif untuk mengurangkan beban rakyat terutamanya sewaktu harga barangan makanan semakin meningkat.
"Saya dukacita dengan berita kenaikan harga petrol dan diesel secara mendadak ini. Sepatutnya, setiap kenaikan harus dibuat secara beransur-ansur dan bukan drastik begini," katanya.
Ketika ditanya bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang kepada penduduk di sini, beliau berkata: "Kalau harga beras naik, kita boleh lagi bagi bantuan beras kepada orang miskin seperti yang telah kita lakukan baru baru ini tetapi sekarang harga minyak pula naik. Takkan kita kena bagi minyak pula."
Presiden Persatuan Teksi Orang India Pulau Pinang, P.Raman berkata, kenaikan harga petrol dan diesel akan memberi kesan kepada sektor pengangkutan.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan anggota persatuan itu dalam masa terdekat ini untuk menentukan sama ada tambang teksi akan dinaikkan atau tidak.
Pengerusi Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Wilayah Utara, Dato' O.K.Lee berkata, kenaikan harga petrol dan diesel serta kenaikan tarif elektrik sebanyak 18 peratus untuk pengguna domestik dan 26 peratus untuk industri akan memberikan kesan yang amat besar terutamanya pengusaha industri kecil dan sederhana (SMI) di negara ini.
Katanya, pengusaha berkenaan mungkin akan menaikkan harga produk dan beban kenaikan kos itu akan ditanggung rakyat yang menggunakan produk berkenaan atau terpaksa "menutup kedai" jika harga tidak dinaikkan.
Beliau bimbang Malaysia akan kehilangan kompetitif dari segi tarikan pelaburan berikutan kenaikan itu.
Katanya dengan kenaikan harga minyak, Petronas akan menjadi semakin kaya dan jika mereka menaikkan pula harga gas kepada pengeluar elektrik seperti Tenaga Nasional (TNB) dan pengeluar tenaga persendirian (IPP), mereka dijangka mempunyai keuntungan yang berlipat kali ganda.
"Saya cadangkan Petronas membiayai pengwujudan lebih banyak sistem tenaga pengangkutan seperti pengangkutan transit ringan (LRT) di negara ini bagi mengurangkan kos pengangkutan yang perlu ditanggung rakyat," katanya.
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment