21 June 2008

Raymond terus bersama SAPP

Raymond tetap dengan SAPP meskipun parti itu dipecat daripada BN

Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata beliau akan terus setia dan bersama SAPP meskipun parti itu berkemungkinan dipecat daripada Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, walaupun beliau dan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee berbeza pandangan berhubung keputusan parti untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi namun kesetiaannya kepada SAPP tidak harus dipertikaikan.

“Dalam mesyuarat (Majlis Tertinggi SAPP semalam) itupun saya katakan bahawa saya tidak akan pergi ke mana-mana (tinggalkan parti). Tolonglah, saya tidak berniat untuk melarikan diri daripada parti walaupun presiden kita (Yong) mahu meneruskan membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri dan hakikat bahawa BN akan mengambil tindakan terhadap parti SAPP.

“Saya tidak akan pergi ke mana-mana. Saya boleh terima apa juga keputusan yang akan dibuat oleh pihak BN,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sejurus sebelum berlepas ke Sandakan.

Bagaimanapun, Tan yang Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah melahirkan kekecewaannya terhadap kenyataan Yong selepas mesyuarat semalam yang menyatakan keputusan parti untuk meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu dibuat secara sebulat suara.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment