21 June 2008

Ezam terus menyerang PR di hadapan bangku - bangku kosong

“Dengan Nama Allah, saya tidak boleh membantu manusia bernama ‘Anwar Ibrahim’” kata Ezam

Mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Noor mengatakan tindakan beliau menyertai UMNO bukan ‘masuk UMNO’ kerana beliau tidak ‘pernah keluar’ dari UMNO. tetapi beliau berkata beliau keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau berkata beliau telah dipecat dari UMNO sepuluh tahun lalu oleh bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (ketika itu) kerana beliau mempersoalkan tindakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang memukul Dato’ Seri Anwar Ibrahim di penjara Sungai Buluh sehingga mata Anwar menjadi lebam.

”Saya menulis surat dari Singapura dan menandatangani surat tersebut sebagai Timbalan Ketua Bahagian Petaling Jaya Utara, sebab itu saya saya dipecat dari UMNO,” kata beliau dalam ceramah ‘Mengapa Saya Tinggalkan PKR’ yang dianjurkan UMNO Bahagian Kuala Terengganu, disini kelmarin.

Ezam mengatakan beliau menyertai UMNO kerana beliau nampak perubahan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO terhadap usaha untuk memerangi rasuah dengan menggubal satu dasar memberikan kebebasan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Menurut beliau walaupun ada pihak lain yang mahukan perubahan untuk memerangi rasuah tetapi tidak mempunyai kuasa.

”Saya memilih orang yang berkuasa yang mahukan perubahan, sebab efektif, keberkesanan untuk melakukan perubahan ada kepada orang yang mempunyai kuasa,” kata Ezam

Beliau mengatakan beliau telah keluar dari PKR setahun selepas Anwar dibebaskan dari penjara kerana terdapat kepincangan asas dalam PKR.

Beliau berkata beliau adalah antara orang yang mengasaskan PKR yang ditubuhkan sebagai satu parti berbilang kaum yang berasaskan Melayu, tetapi Anwar telah menjadikan PKR sebagai parti berbilang kaum sahaja.

Beliau menyelar konsep ‘politik baru’ yang dikemukakan oleh Anwar dengan mengatakan konsep itu telah merosakkan asas ‘Melayu’ sebagai pembentukan negara Malaysia dan menggelar PKR sebagai sebuah parti berasaskan ‘pasaran’.

”Dulu nak tarik sokongan Cina, dia tonjolkan kepimpinan (PKR) dari kalangan Cina, sekarang bila nak tarik sokongan orang Melayu, dia tonjol kepimpinan Melayu,
“ini bagi saya perjuangan mengikut pasaran, dia tengok pasaran,”kritik Ezam.

Ezam terus memainkan sentimen politik ‘bangsa’ dengan mengambil contoh tindakan ADUN berketurunan India yang juga Exco kerajaan Selangor mengeluarkan anak dari sekolah kebangsaan.

Anwar terus menjadi menjadi sasaran Ezam dalam menjadikan alasannya meninggalkan PKR dan mengungkit segala usaha dan pertolongannya membantu Anwar dan keluarga sejak dari Anwar dipecat, sehingga Anwar keluar dari penjara.


Beliau kesal kerana Anwar dan isterinya Datin Seri Azizah tidak membela dirinya apabila beliau diserang dengan mengatakan beliau mempunyai agenda politik bersama menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin.

Beliau juga mengatakan permainan politik Anwar adalah permainan politik yang tidak ada etika, yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan orang ramai dan negara, yang akan merosakkan negara.

”Macaman pelabur nak masuk, sekejap ahli sana nak lompat, sekejap sini nak lompat,”tambah Ezam.

Ezam telah memperkukuhkan tindakannya meninggalkan Anwar dengan berkata ‘dengan nama Allah’, setahun selepas Anwar dibebaskan, beliau telah diperlihatkan, sebagai orang Islam yang berpegang teguh dengan prinsip Islam, dengan kesetiaan kepada Allah dan RasuluLlah, beliau tidak boleh sama sekali membantu seorang manusia yang bernama Anwar Ibrahim.

”Kalau tuan-tuan nak tahu apa dia, tunggu episod yang kedua, sebab prinsip saya saya tidak suka mengaibkan orang,

“tapi sekiranya masih mencabar maruah saya, saya sedia bertempur,” kata Ezam disambut dengan tepukan oleh hadirin yang hadir dalam dewan yang separuh kosong.

pinkturtle2.wordpress.com

No comments:

Post a Comment