11 June 2008

Pengusaha kantin sekolah mula naikkan harga makanan

BUKIT MERTAJAM 10 Jun – Pengusaha kantin sekolah di sekitar Seberang Perai mula menaikkan harga makanan yang dijual kepada pelajar sehingga 30 peratus dengan alasan kos bahan mentah meningkat mendadak sejak kebelakangan ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa sekolah di sini hari ini mendapati harga kuih-muih, roti canai dan makanan berasaskan nasi di kantin sekolah naik paling ketara iaitu antara 10 hingga 30 sen manakala minuman kekal pada harga lama.

Pengusaha kantin yang ditemui memberitahu, kenaikan itu tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan kos beras, ayam, tepung, sayur-sayuran dan plastik selain tindakan pembekal kuih-muih sekitar Seberang Perai menaikkan harga produk masing-masing.

Seorang peniaga kantin, Siti Aishah Syed Ali, 54, berkata, mulai hari ini dia terpaksa menaikkan harga kuih-muih kepada 40 sen sekeping berbanding 30 sen minggu lalu kerana pembekal menaikkan harga.

“Begitu juga roti canai yang dinaikkan daripada 60 sen kepada 70 sen kerana pembekal mendakwa terpaksa menanggung kenaikan kos pengangkutan selain kesukaran mendapatkan tepung.

“Nasi lemak dan nasi ayam kekal pada harga lama, tetapi kuantiti nasi dan ayamnya terpaksa dikurangkan berikutan kenaikan harga beras dan ayam,” kata Siti Aishah yang berniaga di Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya, Taman Siakap di sini.

Seorang lagi pengusaha kantin, Faridah Abdul Rahim, 57, yang berniaga di Sekolah Kebangsaan Perda pula berkata, sebelum ini, pihaknya cuba mengekalkan harga sedia ada, tetapi akhirnya terpaksa juga menaikkan harga.

“Kalau ada harga makanan yang boleh dikekalkan, saya akan cuba kekalkan, tetapi rata-rata harga barang naik dan peningkatan harga jualan memang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Sementara itu, pengusaha kantin di Sekolah Kebangsaan Jalan Baru, Ramli Ahmad, 48, pula memberitahu, dia masih mengekalkan harga jualan di kantinnya, tetapi tidak menolak kemungkinan menaikkan harga jika peningkatan kos bahan mentah yang berlaku sekarang terus berlarutan.

“Kita kasihankan budak-budak sekolah tetapi kalau harga bahan mentah seperti ayam, beras dan tepung terus meningkat, kami peniaga tidak mempunyai pilihan.

“Jika ada keperluan untuk menaikkan harga makanan, kami akan bincang dengan pihak sekolah terlebih dahulu,” jelasnya.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati para pengusaha kantin sekolah berada dalam dilema kerana tidak boleh bertindak sesuka hati menaikkan harga makanan dan minuman disebabkan tertakluk pada senarai harga yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

Seorang pengusaha kantin, Wan Sakinah Wan Hassan, 46, memberitahu, dia terpaksa mengambil langkah berjimat cermat supaya tidak menanggung kerugian besar.

Menurutnya, jika sebelum ini dia mempunyai 10 pekerja, namun kini jumlah itu terpaksa dikurangkan kepada tujuh orang termasuk memberhentikan seorang tukang masak.

Tindakan tersebut, katanya, bukan berniat untuk menutup punca rezeki pekerjanya, tetapi itulah cara terbaik bagi mengurangkan kos yang terus naik mendadak.

“Selain menjadi pengurus, saya sekarang juga bertindak sebagai tukang masak, juruwang dan terpaksa pergi sendiri ke pasar untuk membeli barang keperluan.

“Keuntungan yang diperoleh kini hanyalah cukup makan sahaja jika hendak dibandingkan dengan sebelum ini,” kata Wan Sakinah yang berniaga di Sekolah Menengah Kebangsaan Uda di Tampoi.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment