11 June 2008

Dr. Mahathir sedih Sanusi dipecat

Bekas Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa sedih dengan tindakan menamatkan khidmat Tan Sri Sanusi Junid sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

"Mungkin dia (Sanusi) telah melakukan kesalahan yang besar yang tindakan ini perlu diambil. Tetapi secara kebetulan tindakan terhadap Presiden UIA ini diambil
sejurus selepas dia keluar daripada UMNO.

"Apakah perbuatan beliau ini yang menyebabkan dianya disingkir?" kata beliau dalam blognya hari ini.

Sanusi keluar Umno pada hari Dr. Mahathir mengumumkan keputusan untuk keluar daripada parti itu.

Dr. Mahathir menambah: "Saya harap sebab-sebab Tan Sri Sanusi hendak disingkirkan dijelas kepada rakyat. Jangan salahguna kuasa untuk kepentingan diri."

Tambah beliau, kepimpinan kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) harus ingat bahawa BN bukan lagi menguasai seluruh negara.

"Negeri-negeri dan Wilayah yang terkaya di Malaysia sekarang dikuasai oleh parti lawan.

"Mereka tidak bertindak melantik hanya ahli-ahli parti mereka sahaja dalam badan-badan kerajaan.

"Sebaliknya mereka sanggup melantik tokoh dari parti-parti Barisan Nasional untuk mengisi jawatan badan-badan yang terletak dibawah kerajaan-kerajaan mereka," katanya.

Beliau juga berkata, sikap mereka ini tentu akan menyebabkan lebih ramai ahli dan penyokong BN berpindah kepada parti mereka atau menyokong mereka.

"Sikap suka balas dendam kepimpinan Barisan Nasional akan menghakis lagi sokongan kepadanya," katanya lagi.

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment