11 June 2008

UIA: Sanusi dipecat, KSN dilantik Presiden baru

PETALING JAYA: Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Tan Sri Sanusi Junid hari ini menyatakan bahawa perkhidmatannya sebagai presiden universiti tersebut telah diberhentikan berkuat kuasa 2 Jun lalu.

Menurut Sanusi, pihak pengurusan universiti telah menghantar surat pemberhentian perkhimatannya bertarikh 2 Jun semalam walaupun tempoh perkhidmatannya berakhir pada 2010.

Sebelum ini, spekulasi timbul mengenai kedudukan Sanusi selaku Presiden UIAM berikutan tindakannya keluar dari UMNO mengikut jejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sanusi keluar daripada Umno bersama Dr. Mahathir pada 19 Mei lalu.

Pada 5 Jun lalu Sanusi memaklumkan beliau tidak akan berhenti daripada jawatan tersebut walaupun menerima 'tekanan' untuk berbuat demikian.

"Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Ketua Perlembagaan UIAM. Justeru, saya tidak percaya baginda (Sultan Pahang) akan memecat saya kecuali dengan host member kepada UIAM iaitu Perdana Menteri," kata beliau.

Ketika membacakan kenyataan 18 halaman hari ini, Sanusi berkata, surat yang ditandatangani Sultan Pahang tidak menyatakan sebab beliau ditamatkan perkhidmatan.

Justeru, kata beliau, keputusan itu telah dibuat ekoran tekanan daripada pihak atasan.

"Saya menganggap ini pemecatan terhormat oleh Perdana Menteri. Oleh itu saya tidak sedih," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah dilantik sebagai Presiden kelima UIAM berkuat kuasa mulai 2 Jun lalu.

Pengarah Pejabat Perhubungan Awam UIAM, Abdul Rahman Ahmad berkata, pelantikan itu dibuat oleh Ketua Perlembagaan universiti itu, Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah.

"Kami menyanjungi sumbangan oleh Tan Sri Sanusi Junid kepada universiti semasa tempoh perkhidmatannya selaku presiden universiti dan masyarakat UIAM mengalu-alukan Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai presiden baru universiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata, Presiden UIAM berkhidmat selaku Pengerusi Lembaga Pengelola yang bermesyuarat sekali dalam setahun dan pengerusi Majlis universiti yang bermesyuarat sekali setiap empat bulan.

Bekas Menteri Besar Kedah itu menjadi Presiden UIAM sejak Februari 2000.

Menurut Perlembagaan UIAM, pelantikan Presiden universiti tersebut adalah di bawah bidang kuasa Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Ketua Perlembagaan boleh melantik mana-mana individu sebagai Presiden UIAM yang menjadi kuasa prerogatif baginda.

Walaupun tempoh perkhidmatan Sanusi berakhir pada tahun 2010, namun menurut Perlembagaan UIAM, kedudukan beliau selaku Presiden tidak semestinya tidak boleh diganti biarpun tempoh perkhidmatannya belum berakhir.

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment