Mufti Perlis mahu Sekolah Agama guna pelajar kutip derma dihukum
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan terhadap pengurusan Sekolah Agama atau Tahfiz yang menyuruh pelajar mereka mengutip derma.
Katanya perbuatan itu sudah terlalu lama berlarutan sehingga ada di kalangan pelajar yang mengutip derma ketika waktu sekolah dan perbuatan itu secara tidak langsung menjejaskan tumpuan mereka pada pelajaran.
"Perkara ini bukan sahaja mencemarkan imej bersih yang cuba dipamerkan agama Islam tetapi juga menunjukkan satu perkara negatif iaitu seolah-olah pelajar Sekolah Agama mengemis," katanya pada forum bertajuk "Keselamatan Kanak-Kanak: Tanggungjawab Siapa" pada Bengkel Hak Perlindungan dan Keselamatan Kanak-Kanak di Institut Kemajuan Islam Malaysia, di sini hari ini.
"Adalah tidak wajar pelajar Sekolah Agama yang berpakaian sopan dan lengkap berserban disuruh mengutip derma dengan menjual kalender, minyak atau pelekat ayat Al-Quran di gerai-gerai makan, perhentian bas dan tempat awam.
"Perkara ini amat mendukacitakan terutama bagi generasi muda yang seharusnya dibentuk menjadi insan yang cemerlang, diberi pelajaran dengan menumpukan sepenuh perhatian di sekolah dan bukannya digunakan untuk mengutip derma bagi keperluan material pihak sekolah," katanya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment