26 June 2008

Islam itu syumul (sempurna) , PAS syumul? Nik Aziz juga perlu ditegur

Pas tidak boleh berunding dengan UMNO - Nik Aziz

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa Pas tidak akan sama sekali mengadakan perundingan dengan UMNO atas apa juga alasan bagi mengelak tercetusnya perpecahan dalam parti itu.

Beliau berkata, Pas tidak akan mengambil risiko untuk mengulangi semula krisis yang melanda parti itu semasa bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pada sekitar tahun 70-an.

Beliau menjelaskan, pada masa itu, Pas telah bertapak kukuh di Kelantan dan ekoran daripada tindakan penggabungan itu menyebabkan berlaku perpecahan teruk di kalangan kepimpinan dan ahli sehingga wujudnya parti-parti serpihan.

''Saya nak tegaskan bahawa Pas tidak akan sama sekali mengadakan perjumpaan dan perundingan dengan UMNO kerana masalah besar (perpecahan) akan berlaku dalam parti,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata, pendirian itu juga amat penting bagi menghormati sokongan rakyat termasuk pemimpin dan ahli UMNO, pengundi Cina dan India serta pengundi muda yang telah memberikan undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini.

''Mereka ini telah sokong Pas secara sukarela dan sanggup pakai baju tertera lambang parti secara terang- terangan dan bantu kempen, jadi apabila kita berunding dengan UMNO, maka akan sia-sialah pengorbanan dan sokongan mereka.

''Saya juga percaya Muktamar Agung Pas di Perak kelak akan menjadi medan para perwakilan 'mengamuk' dan kepimpinan akan dikecam hebat jika Pas mengadakan perundingan dengan UMNO,'' katanya.

Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz tidak menghalang sebarang usaha perjumpaan peribadi antara pemimpin UMNO dan Pas selagi ia tidak melibatkan parti dan dasar yang diperjuangkan.

''Pas tidak melawan ahli UMNO, tetapi sebaliknya kita hanya melawan batang tubuh UMNO yang jelas secara salah memperjuangkan pengasingan antara agama dan politik dalam perlembagaan mereka,'' katanya.

Nik Abdul Aziz juga mengalu-alukan ahli UMNO untuk menyertai Pas dengan menganggap tindakan itu bukannya melompat parti, tetapi kembali kepada keadaan asal dan fitrah.

''Orang UMNO adalah Islam dan balik semula kepada Islam setelah sebelum ini 'terlanjur' jauh dengan berjuang dalam UMNO. Tindakan ini bukan melompat parti, tetapi kembali kepada keadaan asal,'' dakwa beliau.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment