27 June 2008

Baik pindah projek ke negeri yang diperintah BN

Projek monorel, PORR P. Pinang ditangguh

Cadangan menangguhkan dua projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Pulau Pinang tidak bermakna kerajaan mendiskriminasikan negeri tersebut daripada menikmati pelbagai projek pembangunan mega.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata, kedua-dua projek tersebut ialah projek monorel dan Jalan Raya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) yang masing-masing bernilai RM1.2 bilion dan RM1.02 bilion.

''Projek ini perlu ditangguhkan pada masa sekarang kerana wujudnya beberapa halangan daripada aspek fizikal kerajaan yang perlu dikekalkan.

''Oleh itu, sebahagian daripada projek itu akan dikaji semula dan mungkin dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10)," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen selepas Perdana Menteri membentangkan kajian Separuh Penggal RMK-9 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Amirsham berkata, buat masa sekarang kerajaan hanya akan memberi tumpuan kepada projek yang boleh dimanfaat oleh rakyat dan boleh menjana pertumbuhan ekonomi tanpa mengira lokasinya.

''Sekiranya kita dapati projek itu boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kita akan laksanakannya, tidak kira di mana ia berada," jelasnya.

Beliau menambah, cadangan penangguhan itu akan diuruskan oleh kementerian terbabit yang akan memaklumkannya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Selain itu, Amirsham berkata, sasaran defisit fiskal sehingga 3.1 peratus akan tercapai meskipun terdapat peruntukan tambahan sebanyak RM30 bilion di bawah Kajian Separuh Penggal (RMK-9).

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment