18 May 2008

Tentera kita maut, kereta perisai terbalik di Lebanon

Seorang anggota tentera pengaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Lebanon, terbunuh manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan perisai yang dinaiki mereka terbalik di Sirsa, awal pagi ini.

Mangsa, Korporal Jun anak Sang dari Seri Aman, Sarawak ketika itu bersama-sama enam anggota pengaman Kontinjen Malaysia II (Malcon II) Misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (UNIFIL) mengiringi pengambilan anggota Malcon.

Pasukan itu yang menaiki sebuah kenderaan perisai jenis Condor 4X4 sedang dalam perjalanan dari Beirut ke Marjayoun di Sirsa, kira-kira 20 kilometer ke barat daya Kaoban, apabila ia terbalik pada pukul 12.20 pagi ini waktu Malaysia (7.20 petang 16 Mei waktu Lebanon).

Markas Angkatan Bersama ATM dalam kenyataan hari ini memberitahu punca kejadian masih belum diketahui.

“Selain Sarjan Udara Zaidil Bojei yang cedera parah dalam kemalangan itu, empat anggota lain turut cedera ringan,’’ menurut kenyataan itu.

Mereka yang cedera ringan termasuk tiga anggota tentera darat iaitu Sarjan Syamsul Kemal Abdul Rahman, Truper Romie anak Minit dan Prebet Zulhelmi Mohamed.

Turut cedera, Laskar Udara Kanan (LUK) Ahmad Firdaus Tajuddin dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Keempat-empat anggota terbabit kini dirawat di Hospital Belubatt, Tibnin.

Menurut kenyataan itu lagi, semua waris mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu manakala penghantaran jenazah mendiang sedang diuruskan oleh pasukan UNIFIL di Lebanon.

Bagaimanapun, katanya, ekoran situasi semasa di Lebanon ketika ini, jenazah mendiang hanya dijangka tiba di tanah air seawal-awalnya 19 Mei ini.

‘‘Namun usaha mempercepatkan penghantaran jenazah masih dijalankan dan ketika ini urusan penerimaan jenazah sedang dilakukan di Seri Aman.

“Jenazah mendiang telah selesai menjalani bedah siasat di Hospital Hammoud di Saida dan mangsa yang parah sedang menerima rawatan lanjut di hospital yang sama,’’ katanya lagi.
www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment