Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didokong oleh pelbagai kaum tidak sesuai dengannya yang lantang bersuara tentang hak orang Melayu.
Bagaimanapun, jelasnya, ia tidak bermakna pandangannya itu bersikap perkauman kerana beliau menghormati hak setiap kaum di negara ini yang jelas dijamin mengikut Perlembagaan.
Menurut beliau, walaupun Melayu merupakan kumpulan majoriti tetapi mereka masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek berbanding kaum lain, walaupun kerajaan telah melaksanakan banyak usaha membantu mereka.
"PKR adalah sebuah parti yang mengimbangkan antara semua kaum dan saya pula lantang menyuarakan hak Melayu, jadi saya takut pandangan berani saya nanti akan menyinggung parti.
"Lagipun ia akan menjadikan saya lagi susah untuk menyuarakan pandangan kerana mengikut amalan kita mesti menyokong setiap usul dan cadangan parti walaupun pada asasnya kita menyetujuinya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai tawaran PKR melalui Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution kepada beliau untuk menyertai parti berkenaan.
Ibrahim bagaimanapun menyatakan penghargaan kepada PKR dan Pas yang menawarkan kepada beliau bagi menyertai kedua-dua parti berkenaan.
Tegasnya, beliau akan tetap menyertai parti politik bagi meneruskan perjuangan tetapi tidak tergesa-gesa melakukan demikian kecuali selepas mengkaji setiap aspek secara mendalam sebelum bertindak demikian.
"Saya akan masuk parti yang boleh menerima saya seadanya tanpa sebarang syarat tetapi saya tidak akan tergesa-gesa, saya bagi tempoh paling awal ialah dalam tempoh enam bulan atau setahun dan yang paling lama ialah setahun setengah.
"Saya tidak mahu lagi jolokan katak menjadi mainan kerana saya serius dan bukannya main-main dan tidak mahu lagi kejadian sebelum ini berulang.
"Walaupun saya ikhlas bekerja bermati-matian untuk parti dan tidak pernah melanggar perlembagaan parti tetapi akibat kelantangan saya menyebabkan saya dicemburui dan akhirnya ditikam daripada belakang dan segenap penjuru," katanya.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment