Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan tindakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) membuat laporan polis ke atas beberapa akhbar berikutan penyiaran kandungan laporan siasatan Suruhanjaya Diraja mengenai klip video perbualan seorang peguam dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim.
Sambil menyifatkan penyiaran tersebut sebagai `sesuatu yang tidak betul dan tidak wajar', Perdana Menteri berkata laporan berkenaan seharusnya dibentangkan terlebih dahulu kepada kerajaan.
Beliau berkata keputusan sama ada hendak menjadikan laporan itu bahan bacaan umum atau bahan rahsia adalah hak kerajaan, justeru tidak wajar sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang ingin mendahului kerajaan dalam hal itu.
"Itu adalah perkara yang penting, jadi sebelum kerajaan buat apa-apa keputusan, tidak wajarlah bagi mana-mana pihak hendak mendahului kerajaan mengeluarkan dan melaporkan hal-hal yang berkaitan dengan beberapa perkara yang ada dalam laporan itu.
"Ini satu tindakan yang tidak betul, tidak wajar dilakukan jadi tentulah pihak jabatan yang bertanggungjawab untuk menyediakan laporan ini akan merasa sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang tidak betul, sesuatu yang melanggar undang-undang yang mengikut pandangan mereka. Maka sebab itulah mereka membuat aduan itu dan tindakan itu satu tindakan yang wajar," katanya di sini, Sabtu.
Abdullah menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh JPM berikutan tindakan akhbar The Star, New Straits Times dan Berita Harian menyiarkan kandungan laporan siasatan Suruhanjaya berkenaan.
Menjawab dakwaan bahawa laporan itu tidak tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), Perdana Menteri berkata pihak yang berkenaan perlu mengambil kira keperluan untuk laporan tersebut disampaikan kepada kerajaan terlebih dahulu.
"Jadi itu yang pentingnya, kerajaan dulu, sebab itu apabila saya ditanya mengenai laporan ini, adakah mahu mendedahkannya kepada umum, saya kata tunggu kejap. Pada waktu itu saya pun belum baca lagi, saya sendiri belum tengok, tiba-tiba saya kata umumkannya, takkan begitu.
"Kalaupun saya dah baca, saya kena tunggu juga untuk membentangkannya kepada jemaah menteri. Ini yang lazimnya yang kita lakukan untuk laporan-laporan suruhanjaya lain," katanya.
Abdullah berkata adalah tidak wajar untuk menyiarkan laporan itu sedangkan ia belum dibentangkan kepada kerajaan.
Lagi berita...
No comments:
Post a Comment