29 May 2008

Tembok tutup jalan diroboh lagi

KAJANG - Biarpun telah tiga kali tembok dibina di persimpangan Jalan Bandar Mahkota Cheras, ia tidak kekal kerana tembok yang dibina awal pagi kelmarin dirobohkan lagi semalam.

Bermula pukul 5 petang semalam, penduduk yang tidak berpuas hati telah mengupah beberapa buah lori menarik konkrit-konkrit yang menghalang laluan tersebut.

Kerja-kerja merobohkan konkrit itu disaksikan kira-kira 3,000 penduduk dan suasana menjadi 'meriah' apabila mereka bersorak setiap kali ada konkrit yang dapat dialihkan.

Kesemua konkrit itu berjaya dialihkan pukul 7 petang dan kenderaan dilihat terus menggunakan laluan tersebut.

Polis mengawasi kerja-kerja merobohkan tembok tersebut dan hingga lewat malam tadi polis masih berkawal.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menasihatkan Grand Saga Sdn. Bhd. supaya menghentikan usaha pembinaan semula tembok bagi mengelakkan timbul kekecohan.

Menurutnya, tindakan Grand Saga yang membina tembok sebanyak tiga kali itu dilihat tidak memberi manfaat kerana ia terus dirobohkan.

"Kena cari jalan penyelesaian dan elakkan berlaku kekecohan lagi," kata beliau.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak mengambil kesempatan bagi mengeruhkan keadaan seperti yang berlaku kelmarin.

Kelmarin, sekumpulan lelaki bersenjatakan tukul besi, kayu dan topi keledar tiba-tiba menyerang kumpulan penduduk yang berhimpun di kawasan tersebut.

Kejadian itu menyebabkan beberapa penduduk cedera termasuk seorang jurugambar Kosmo!

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembukaan jalan masuk ke kawasan perumahan tersebut perlu mengikut beberapa prosedur termasuk mendapatkan keizinan Kementerian Kerja Raya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mendapatkan kebenaran kementerian berkenaan kerana kuasa kerajaan negeri terbatas disebabkan persempadanan lebuh raya itu turut membabitkan sebahagian jalan masuk yang terletak di bawah kuasa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment