29 May 2008

Ezam beri sebab sertai semula UMNO

KUALA LUMPUR - Pentadbiran kerajaan yang sejak akhir-akhir ini banyak melakukan perubahan merupakan faktor pendorong kepada bekas Ketua Angkatan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Nor (gambar) menyertai semula UMNO.

Malah, beliau semalam menyifatkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang giat memerangi rasuah cukup dekat dengan hatinya.

Katanya lagi, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri semalam, Abdullah telah memberi reaksi yang positif kepadanya mengenai hasrat beliau untuk menyertai UMNO.

"Itu yang menjadi perangsang utama kepada saya untuk masuk semula UMNO kerana bagi saya ada ruang untuk bersama kepimpinan kerajaan dan parti untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan," katanya.

Ditanya tentang kepimpinan Abdullah, Ezam memberitahu, Perdana Menteri telah melakukan banyak perubahan terutama kepada badan kehakiman dan segala perubahan itu katanya adalah signifikan dengan pentadbiran kerajaan kini.

"Kita mungkin tidak pernah mengimpikan perkara ini berlaku dalam pentadbiran kerajaan 10 atau 20 tahun dahulu, tapi hari ini yang pasti dasar ini telah dimulakan," katanya.

Sementara itu, Abdullah menerima penyertaan semula Ezam ke dalam UMNO sambil menyatakan ia telah memberi semangat baru serta kekuatan kepada parti tersebut.

"Kemasukan Ezam, tak ada syarat apa-apa. Boleh terima dah. Tak ada keistimewaan apa-apa. Dia pun tak minta jawatan apa-apa. Dia hanya mahu berkhidmat dan berjuang dalam parti," kata Perdana Menteri di pejabatnya di bangunan Parlimen semalam.

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment