29 May 2008

Idris Jusoh letak jawatan Pengerusi Umno Terengganu

KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh hari ini mengumumkan keputusannya untuk melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu yang dipegangnya sejak empat tahun lepas.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada Bernama melalui SMS, Anggota Dewan Undangan Terengganu kawasan Jertih itu, berkata perkara itu telah dimaklumkan semasa beliau mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Presiden Umno, di ibu negara hari ini.

"Saya telah memberitahu Perdana Menteri bahawa saya setuju meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan beliau (Perdana Menteri) terima.

"Saya akan hantar surat peletakan jawatan itu esok," katanya.
Idris bagaimanapun tidak menyatakan sebabsebab beliau bersetuju untuk melepaskan jawatan itu.

Hanya empat hari lepas, Idris berkata beliau tidak akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, walaupun tindakan tersebut boleh menyebabkan kebuntuan politik di negeri itu.

Idris berkata beliau menerima hakikat bahawa Datuk Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu mempunyai penyokongnya sendiri tetapi beliau juga mendapat sokongan besar ahli kerana berjaya memimpin Umno Terengganu memenangi pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Rosol Wahid ketika dihubungi, berkata beliau juga melepaskan jawatannya itu bagi mengikut jejak langkah Idris.

"Saya dilantik oleh Datuk Seri Idris dan saya merasakan bahawa saya perlu mengikut apa yang dilakukan oleh beliau. Semua ini adalah untuk memastikan Umno Terengganu lebih kukuh dan kuat," kata Rosol yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ajil. BERNAMA

No comments:

Post a Comment