Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
03 May 2008
Sultan Perak titah MB lapor salah laku Jamry kepada baginda
Video Titah Sultan Perak
Sultan Perak Sultan Azlan Shah menitahkan menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menarik balik serta-merta arahan pertukaran pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury yang dibuat Selasa lalu.
Arahan tersebut terkandung dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan atas titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah selepas Mohammad Nizar dipanggil menghadap baginda di Istana Raja Muda Perak jam 11 pagi ini.
Kenyataan akhbar itu ditandatangani oleh setiausaha sulit Sultan Perak, Kol Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor, yang menjelaskan titah Raja Nazrin selaku yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).
Kerajaan negeri diminta mempersembahkan secara rasmi kepada Sultan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan kesalahan oleh Jamry terhadap pentadbiran kerajaan negeri untuk baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya.
Pada 29 April lalu, Jamry telah diarah bertukar dalam tempoh 24 jam oleh kerajaan Pakatan Rakyat kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.
Jamry memegang jawatan itu selama tiga tahun sejak 2004.
Sebelum ini Mohammad Nizar menjelaskan bahawa tindakan menukar serta-merta Jamry itu satu proses perpindahan biasa bagi kakitangan kerajaan negeri.
Berikut kenyataan penuh baginda:.
Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzwan, Raja Nazrin Shah, atas nama yang dipertua MAIAMP, telah menitahkan YAB menteri besar Perak Darul Ridzuan, Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin untuk menghadap baginda pada jam 11.00 pagi ini, di Istana Raja Muda Perak Darul Ridzuan untuk menyembah maklumkan kepada baginda berhubung arahan menteri besar Perak supaya yang berbahagia Dato' Haji Jamry Sury ditukarkan serta-merta dari jawatan pengarah JAIP.
YAB Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar telah dimaklumkan bahawa yang berbahagia Dato' Haji Jamry Sury selaku pengarah Jabatan Agama Islam adalah juga berperanan sebagai setiausaha kepada MAIAMP.
Bahawa lantikan yang berbahagia Dato' Haji Jamry Sury dilakukan hanya selepas mendapat perkenan dari Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzwan. Bahawa urusan agama Islam serta badan dan agensi yang bertanggungjawab dengan agama Islam adalah di bawah kuasa langsung Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
Oleh itu pada tafsiran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, YAB menteri besar mempunyai tanggungjawab untuk menghadap dan berdatang sembah, memaklumkan kepada baginda Sultan dan juga kepada baginda Raja Muda, memohon mendapat perkenan sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan hal-ehwal agama Islam, badan dan agensi yang bertanggungjawab dengan agama Islam, merangkumi urusan lantikan, penempatan dan pemindahan pegawai dan kakitangan yang menguruskan hal-ehwal agama Islam, apatah lagi bagi penjawat jawatan penting dan jawatan utama.
Hubungan kerja yang menghormati Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan merupakan satu konvensyen dan budaya kerja yang senantiasa diamalkan dan dihormati oleh setiap Mamanda Menteri Besar dengan pihak istana selama hari ini.
Baginda Raja Muda memperingatkan bahawa hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman ini wajiblah dihormati pada setiap masa. Sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan baginda Sultan dan baginda Raja Muda adalah dianggap telah membelakangkan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebagai ketua agama Islam dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak selaku yang dipertua MAIAMP.
Pada masa yang sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, telah menyampaikan nasihat dan pandangan Paduka Seri Sultan Perak bahawa seseorang ketua kerajaan dalam melaksanakan sesuatu tindakan hendaklah memperlihatkan berlakunya keadilan dengan mematuhi prosedur dan tatacara pentadbiran berlandaskan peraturan dan undang-undang yang ada.
Baginda berpendirian bahawa kestabilan sesuatu pentadbiran dan kerajaan adalah berlandaskan kepada prinsip yang berpegang kepada peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan. Baginda Sultan amat mementingkan hubungan kerja harmoni dan baik berlaku di kalangan para pentadbir dengan pemimpin politik di negeri Perak demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Adalah menjadi pegangan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya kerajaan baginda mengamalkan dan memperlihatkan amalan yang adil dan proses keadilan itu hendaklah dipatuhi, supaya tidak ada di kalangan rakyat baginda yang merasakan diri mereka menjadi mangsa kepada mana-mana perbuatan fitnah atau penindasan dari mana-mana pihak yang lebih berkuasa.
Sebelum sesuatu keputusan atau hukuman dijatuhkan, proses dan prosedur yang memperlihatkan berlakunya keadilan hendaklah dipatuhi sepenuhnya terlebih dahulu. Prinsip keadilan sejagat (natural justice) perlu dihormati, oleh itu mana-mana pihak yang dikenakan sebarang tuduhan hendaklah diberikan hak untuk membela diri dan memberikan penerangan, supaya satu pertimbangan yang saksama lagi adil dapat dilakukan.
Dalam semangat yang demikian, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan pandangan dan pendirian Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya arahan pertukaran serta-merta yang dikenakan kepada yang berbahagia Dato' Jamry Sury ditarik balik.
Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran peraturan dan kesalahan terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang ada dilakukan oleh yang berbahagia Dato' Jamry Sury, maka Kerajaan diminta mempersembahkan perkara tersebut secara rasmi kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan untuk baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya disusuli sebelum dijatuhkan apa-apa keputusan secara muktamad.
http://www.malaysiakini.com/news/82283
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment