08 May 2008

Sejauhmana kesungguhan menurunkan kadar tol

Kadar tol lebuh raya mungkin boleh diturunkan tetapi ia tertakluk kepada keputusan kajian konsesi lebuh raya yang sedang dijalankan Kementerian Kerja Raya.

Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata kajian itu dijangka siap tiga bulan lagi dan ia menjadi asas rundingan semula perjanjian konsesi lebuh raya antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya di negara ini.

Beliau berkata perkara utama yang akan dirunding semula ialah klausa mekanisme semakan semula tol yang tidak membenarkan pihak konsesi menaikkan kadar tol lebuh raya sesuka hati tetapi bergantung kepada jumlah kenderaan yang menggunakannya.

"Ini salah satu kemungkinan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen ketika ditanya adakah kajian konsesi lebuh raya itu boleh menyebabkan kadar tol lebuh raya diturunkan.

Mohd. Zin berkata kajian itu akan mengambil kira unjuran trafik, kadar tol dan tempoh konsesi yang akan dibandingkan dengan hasil kutipan dan kos yang ditanggung pihak konsesi seperti kos operasi dan penyelenggaraan.

Katanya, kerajaan juga sedang berunding dengan syarikat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) untuk mengasingkan PLUS kepada seksyen bandaran dan seksyen antara bandar.

Lagi berita ...

No comments:

Post a Comment