"Ummi ... tadi Suhaib dah doa supaya Mahathir dan SB semua kena langgar lori, mata keluar dan mati cepat ...," tiba-tiba Suhaib bersuara dalam kegelapan awal subuh, dalam perjalanan ke Taiping.
Saya yang sedang memandu ketika itu hanya menoleh sekejap ke kiri, sekadar memastikan anak saya itu tidak bercakap seorang diri.
"Kenapa doa macam tu? Ummi tak pernah ajar pun ...?" Sengaja saya meneka, sedangkan dalam hati sama setuju dengan kata-kata Suhaib.
"Ye lah ... polis Mahathir ambik abah malam-malam, dah lama sangat Suhaib tunggu, tak balik-balik. Suhaib susah hati lah tak ada abah ...," kata-kata itu diucapkan beberapa bulan selepas abahnya di bawa ke Kem Tahanan (Kemta)Kamunting, Taipng.
Pada masa itu, umur Suhaib lapan tahun lebih. Siapa kata saya tak sedih dengar kata-kata Suhaib yang masih kecil ketika itu.
Tiba di Kemta, sewaktu berjumpa abahnya, dia sebut lagi tentang doanya itu. Tetapi, terperanjat kami berdua dengan jawapan abah Suhaib.
"Tak payah doa macam itu. Kita doa supaya Allah saja yang balas setiap perbuatan mereka itu. Kita tak boleh fikir, apakah balasan yang Allah nak beri pada mereka tu nanti ..." kata abah Suhaib, yang membuatkan kami terdiam.
Peristiwa di atas adalah pengalaman sebenar Norlaila Othman, isteri kepada Mohd Sah Satray yang telah ditahan tanpa bicara selama hampir enam tahun. Ia masih kekal segar dalam ingatannya. Dan sehingga kini, akta kejam itu masih teruk menghambat kehidupan bahagia miliknya sekeluarga.
Episod kekejaman ISA tidak berakhir lagi walaupun kebobrokannya semakin dilaung-laungkan rakyat selepas kekalahan memalukan BN di lima buah negeri. Sama ada di kalangan anggota Pakatan Rakyat, Majlis Peguam, badan bukan kerajaan - semua melaungkan kezaliman ISA dan minta ianya segera dimansuhkan.
Terbaru, Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon turut mendesak kerajaan supaya mengkaji semula akta itu, walaupun sebelum ini beliau tidak pernah berbuat demikian.
Malah, menteri de facto undang-undang, Dato' Zaid Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan mungkin akan meneliti dan mengkaji semula beberapa seksyen di bawah ISA, sambil mengatakan undang-undang seperti ISA masih diperlukan di negara ini.
Umum pasti tertanya-tanya, seksyen manakah yang akan diteliti Zaid, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail, dan juga Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar itu.
Jika Zaid ingin mengotakan kata-katanya bahawa beliau mahu mereformasikan badan kehakiman, adalah lebih baik ia bermula dengan ISA, di mana akta ini harus dimansuhkan - kata seorang aktivis anti-ISA.
Malah, paling tidak katanya bicarakan semua tahanan di mahkamah supaya mereka dapat dibuktikan bersalah. Paling tidak, dengan cara itu ahli keluarga tahanan boleh menerima dan penderitaan yang ditanggung selama ini berakhir begitu kerana keluarga mangsa sudah terlalu lama menderita.
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment