24 May 2008

BN sudah terlalu lama berkuasa dan sombong kuasa

Umno dan Barisan Nasional (BN) harus berani membuat perubahan agar sesuai dengan generasi lama, pertengahan dan baru, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil mengambil contoh beberapa parti politik lain di seluruh dunia, Najib berkata perubahan itu penting agar Umno dan BN tidak ditolak oleh rakyat.

"Kita boleh buat penambahbaikan kerana Umno dan BN adalah jenama yang baik. Jangan putus asa dan kecewa. Kita mesti tanam keyakinan bahawa Umno dan BN adalah wadah perjuangan kita," katanya pada majlis Mesra Rakyat anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Negeri Johor, di sini Jumaat malam.

Katanya pilihan raya umum ke-12 yang lalu telah mengubah lanskap politik tanah air yang memerlu kepimpinan Umno dan BN bermuhasabah diri untuk mengenal pasti faktor yang membawa kegagalan parti menerajui beberapa buah negeri.

Najib berkata, rakyat adalah seperti pelanggan dan pelanggan adalah Raja atau sentiasa betul.

"Langkah pertama yang harus diambil ialah untuk kita membuka telinga dan mindadan mendengar suara rakyat. Barangkali ada suara yang mengatakan bahawa kita sudah terlalu lama berkuasa dan sombong kuasa.

"Ini mungkin tidak benar kepada kita tetapi mungkin benar pada persepsi rakyat," katanya.

Oleh yang demikian katanya, kepimpinan yang ada di dalam Umno dan BN harus bersikap lebih merendah diri walaupun berkedudukan tinggi agar sentiasa popular di kalangan rakyat.

Presiden Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Ujang pula berkata badan yang ditubuhkan 10 tahun lalu itu akan sentiasa menyokong kepimpinan BN.

Beliau meminta agar kepimpinan BN mengelakkan perbalahan dalam parti agar tidak berlaku perpecahan yang boleh memberi peluang untuk pihak pembangkang menimbulkan fitnah terhadap BN.

Abu Zahar juga menyeru agar kepimpinan BN sentiasa membela nasib rakyat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Yang Dipertua Mubarak Johor, Datuk Wira Jaafar Hamzah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment