05 May 2008

Penggunaan nama Allah hendaklah dibuat dalam konteks pemahaman orang Islam - PKPIM

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan Herald mencari nama yang sesuai selain Allah bagi nama tuhan mereka.

Kenyataan ini dibuat berikutan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan akhbar mingguan Katholik itu untuk menyemak semula arahan kerajaan yang melarangnya menggunakan "Allah" dalam seksyen bahasa Malaysia.

Presiden PKPIM, Mohd Hilmi Ramli berkata, penggunaan nama baru itu turut membantu memperkayakan perbendaharaan istilah dalam Bahasa Melayu.

Pengkayaan unsur ibadat dan ketuhanan bukan perkara yang baru dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, rumah ibadat untuk agama-agama lain adalah gereja, kuil, tokong dan sebagainya.," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Orang yang alim atau agamawan juga cukup kaya (dengan istilah), seperti ulama bagi orang Islam, rahib bagi agama Kristian dan sami bagi Hindu dan pelbagai pelbagai lagi. Maka, tiada masalah bagi Herald untuk mencari nama eksklusif bagi tuhan mereka," tambahnya lagi.

Ketika ditanya tentang apakah nama paling sesuai yang beliau cadangkan untuk menggantikan perkataan Allah tersebut, beliau mencadangkan "tuhan".

"Setakat ini, saya rasa itu adalah nama yang paling sesuai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Buka kota ‘paradok'

Menurut kenyataan itu lagi, persatuan mahasiswa itu menyifatkan tindakan Herald itu seolah-olah membuka kotak ‘paradok' yang sebelum ini sudah sedia harmoni dan aman.

PKPIM menegaskan bahawa isu nama Allah ini bukan isu yang remeh dalam konteks agama Islam.

Persatuan ini juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa masyarakat Arab Kristian pun menggunakan nama Allah dalam percakapan mereka seperti penggunaan perkataan "yallah" dan Masya-Allah yang hanya bersifat populis dan kepasaran.

"Itu bukan bermakna masyarakat Arab Kristian itu menggunakan (perkataan) Allah itu dalam konteks yang berat dan sebenar, iaitu tuhan yang Maha Esa, yang hanya layak disembah, tuhan yang tidak beranak dan memperanakkan. Justeru, hujah ini dapat dipatahkan," kata pemimpin muda itu.

PKPIM memberi syarat, jika Heraldingin terus menggunakan perkataan Allah dalam akhbar mereka, penggunaan itu hendaklah dibuat dalam konteks sebenar (seperti pemahaman orang Islam).

Pada 19 Mac lalu, pemohon, Titular Roman Catholic Archbishop dari Kuala Lumpur memfailkan permohonan semakan penghakiman terhadap menteri dalam negeri dan pihak kerajaan berhubung arahan melarang Herald menggunakan perkataan "Allah" dalam seksyen bahasa Malaysia akhbar tersebut.

Kementerian tersebut telah menahan permit Herald, yang diterbitkan setiap minggu, tahun lalu berhubung perkara tersebut, tetapi permitnya diperbaharui tanpa sayarat selepas mendapat bantahan dari masyarakat Katholik.

Kabinet juga memutuskan pada 3 Januari lalu bahawa hanya agama Islam yang berhak menggunakan nama Allah.

http://www.malaysiakini.com/news/82373

No comments:

Post a Comment