SEREMBAN 5 Mei — Pelakon Nasreen Ngasri, 25, atau lebih dikenali sebagai ’Darling’ serta emak dan adiknya dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban kerana cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar belakang sebuah lori di km247, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Senawang dekat sini pagi ini.
Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, ASP Halil Hamzah berkata, kemalangan itu berlaku pada 7.50 pagi ketika mereka sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.
"Nasreen yang memandu dalam keadaan jalan licin akibat hujan dipercayai gagal mengawal keretanya lalu terbabas sebelum melanggar belakang lori, dan akibatnya, bahagian depan kereta remuk manakala lori yang membawa pokok bunga itu terbalik di tengah lebuh raya,” katanya kepada Bernama.
Nasreen mengalami kecederaan di bahagian kepala dan leher manakala emaknya, Habibah Jaafar, 53, mengalami lebam di muka dan cedera di kaki kanan, dan adiknya, Norsuhada, 14, cedera di badan. -Bernama
No comments:
Post a Comment