20 May 2008

Nordin Mat Top meninggalkan Indonesia

Militan Asia Teng gara paling dikehendaki, Nordin Mat Top dipercayai berjaya melarikan daripada buruan pihak berkuasa negara ini dan sudah meninggalkan Indonesia.

Dokumen-dokumen siasatan polis menunjukkan, seorang anggota militan yang ditangkap dan diekstradisi ke Indonesia memberitahu polis bahawa seorang rakyat Algeria yang membantu Nordin melepaskan diri dari negara ini telah memaklumkan bahawa Nordin telah berjaya melarikan diri.

Seorang pegawai kanan antipengganas hari ini berkata, pihaknya masih melakukan “pemeriksaan silang” terhadap maklumat itu dengan sumber lain.

Nordin didakwa mengarahkan serangan bom ke atas kelab malam di Bali pada 2002 serta tiga serangan lain ke atas sasaran Barat di Indonesia yang menyebabkan lebih 240 orang terbunuh, kebanyakannya pelancong asing.

Jika maklumat itu benar, kejayaan Nordin melarikan diri itu menjadi tamparan kepada Indonesia, yang selama ini mendapat pujian kerana berjaya memerangi keganasan.

Ia juga mencetuskan kebimbangan terhadap kedudukan serta tindakan Nordin selanjutnya.

Nordin yang berasal dari Malaysia menjadi pelarian sejak 2002 dengan beberapa pembantu kanan dan orang tengahnya telah berjaya ditangkap serta pihak berkuasa mendakwa hampir berjaya menangkapnya.

Bagaimanapun sejak 18 bulan kebelakangan jejak dan kedudukannya semakin sukar dikesan.

Dakwaan mengenai kejayaan Nordin melarikan diri terkandung dalam laporan siasatan ke atas dua anggota kanan rangkaian militan Jemaah Islamiyah (JI) yang ditangkap di Malaysia ketika dalam perjalanan ke Asia Barat dan diekstradisi ke Indonesia lewat Mac lalu. - AP

No comments:

Post a Comment