Kastam Chennai melumpuhkan satu lagi kumpulan pengedar dadah melibatkan wanita asing setelah menahan seorang wanita Filipina yang cuba menyeludup dua kilogram heroin bernilai RM1.5 juta ke Kuala Lumpur malam tadi.
Dia merupakan wanita ketiga yang ditangkap di lapangan terbang utama India dalam tempoh sebulan lepas kerana cuba menyeludup heroin ke Kuala Lumpur dan Bangkok. Wanita berusia 29 tahun itu ditahan oleh anggota Unit Risikan Udara Kastam ketika hendak menaiki pesawat Penerbangan Malaysia ke Kuala Lumpur.
"Selepas pemeriksaan terhadap wanita berkenaan dan beg tangan yang dibawanya tidak menemui sebarang benda terlarang, anggota kastam mengesyaki ada sesuatu yang tak kena apabila mendapati bahagian bawah beg pakaian berwarna merah yang dibawanya membonjol secara luar biasa. Kami mengesyaki ada benda terlarang yang disembunyikan di dalamnya," kata Pesuruhjaya Kastam (Lapangan Terbang) K.Engineer kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata setelah membuat pemeriksaan rapi, kastam menjumpai satu bungkusan berwarna coklat mengandungi heroin ditampal pada bahagian bawah beg berkenaan.
"Dalam kenyataannya, penumpang itu mengaku dia menyedari terdapat heroin di dalam beg berkenaan, yang diberi kepadanya oleh seorang wanita Filipina di Delhi," katanya.
Wanita berkenaan, yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di Bangkok, tiba di Mumbai dua hari lepas, sebelum terbang ke Delhi, dipercayai untuk mengambil dadah itu.
Pada 11 Mei seorang pekerja seks Thailand berusia 34 tahun ditangkap di Lapangan Terbang Hyderabad kerana cuba menyeludup keluar 2.2 kg heroin bernilai hampir RM2 juta.
Tiga hari kemudian, Kastam Chennai menahan seorang warga Filipina berusia 27 tahun bersama satu kilogram heroin bernilai RM1 juta yang cuba diseludupnya ke Kuala Lumpur. BERNAMA
mudah? ada rekod berapa banyak yg dah terlepas???
ReplyDelete