Tindakan seorang gadis yang menghubungi polis selepas ditawarkan pakej sebanyak RM48,000 hanya dengan membawa sebuah beg berisi dadah jenis kokain dari Sepanyol menyebabkan tiga lelaki Afrika ditahan.
Gadis berusia awal 20-an daripada keluarga sederhana itu bertindak demikian kerana mendapati dirinya mahu dijerat ke dalam sindiket pengedaran dadah dengan menawar wang lumayan.
Mangsa yang tidak bekerja mengenali salah seorang lelaki Afrika itu melalui ruang sembang internet beberapa bulan lalu sebelum bertemu suspek berkenaan minggu lepas.
Dalam pertemuan itu, suspek tersebut menawarkan satu kerja mudah dengan mengambil sebuah beg yang diberitahu disorok sejumlah dadah dari Sepanyol untuk dihantar ke sebuah negara Eropah lain.
Polis yang menerima maklumat gadis itu, telah menyerbu sebuah rumah yang didiami lelaki Afrika tersebut di Kepong pada pukul 1.30 petang kelmarin.
Dalam serbuan itu, polis menahan kenalan mangsa dan dua lagi lelaki Afrika lain.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun mengesahkan penahanan tersebut.
“Selain tiga lelaki Afrika yang ditahan, kita menemui sekeping tiket penerbangan ke Sepanyol, pasport antarabangsa milik gadis berkenaan,’’ kata beliau.
Menurut beliau, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 24 dan 31 tahun dan mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah- Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Othman memberitahu, tindakan bijak gadis itu menyelamatkannya daripada menjadi mangsa sindiket yang cuba memperdayakan rakyat negara ini.
Katanya, salah seorang suspek itu didapati memasuki negara ini sebagai pelajar sebuah kolej swasta, manakala dua lagi rakannya memasuki negara ini sebagai pelancong.
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment