24 May 2008

Bekas pegawai kanan imigresen dipenjara

KANGAR 23 Mei - Bekas Penolong Timbalan Pengarah Imigresen Perlis dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana didapati bersalah atas dua tuduhan meminta rasuah melibatkan kes membawa masuk pendatang tanpa izin.

Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa mulai semalam dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda hukuman penjara ditambah tiga bulan lagi.

Hakim Zainol Rashid Hussein menjatuhkan hukuman itu ke atas Wan Rozaimy Wan Ramly, 30, yang ketika kejadian bertugas sebagai Penolong Timbalan Pengarah, Jabatan Imigresen, Perlis.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Rozaimy didakwa meminta suapan bernilai RM3,000 daripada Abdul Hamid Zali yang ditahan imigresen atas kesalahan membawa pendatang tanpa izin.

Semasa itu, Abdul Hamid membawa pendatang asing tanpa izin dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Aeroback pada 11 Oktober 2006, pukul 11.22 malam di Kampung Wang Kelian, Kaki Bukit di sini.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh cuba mendapatkan suapan bernilai RM2,500 daripada Watthana Phinitphotjana di hadapan Maybank cawangan Padang Besar kira-kira pukul 5.50 petang, keesokkan harinya atas tujuan yang sama iaitu untuk melepaskan kereta milik Abdul Hamid yang ditahan kerana membawa pendatang tanpa izin.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 10 (a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama dan pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 11(a) akta yang sama.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ishak Taib dan tertuduh diwakili peguam Jamil Mohamed Shafie.

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment