Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video Lingam didedahkan kepada orang ramai.
Naib pengerusinya Tan Sri Simon Sipaun berkata Suhakam difahamkan bahawa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, baru-baru ini.
"Suhakam meminta pihak berkuasa mendedahkan laporan itu dengan secepat mungkin memandangkan pendengarannya sendiri didedahkan kepada umum dan oleh kerana hasil siasatan awam ini amat penting bagi orang ramai, maka ia perlulah diumumkan kepada orang awam ramai", katanya dalam kenyataan di sini hari Isnin.
Simon berkata Suhakam juga berpendapat bahawa keputusan untuk mendedahkan laporan ini kepada umum perlu dibuat oleh Suruhanjaya Diraja itu sendiri.
Suruhanjaya Siasatan Diraja itu ditubuhkan bagi menentukan, antara lain, kesahihan klip video yang kononnya memaparkan perbualan seorang peguam bagi mengatur pelantikan hakim dengan seorang hakim kanan.
Ia dipengerusikan bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan dianggotai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Peguamcara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan ahli sejarah Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Khim.
Simon berkata Suhakam juga memandang berat dakwaan kononnya polis telah bertindak kasar semasa menangani demonstrasi di Bandar Mahkota Cheras pada 8 Mei berhubung tindakan meruntuh sekatan yang didirikan oleh pemegang konsesi sebuah lebuh raya.
"Pada mesyuarat ke-99nya, Suhakam membuat keputusan akan menyiasat perkara ini dan mungkin mengadakan siasatan awam, jika difikirkan perlu," katanya.http://klpos.com
No comments:
Post a Comment