13 May 2008

Singapura yakin menang kes rebut pulau

TIMBALAN Perdana Menteri Singapura, Profesor S. Jayakumar, melahirkan keyakinan bahawa keputusan berhubung isu tuntutan pulau Pedra Branca (Pulau Batu Putih) antara Singapura dan Malaysia yang bakal diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei ini bakal berpihak pada republik ini.

Namun, katanya, sudah menjadi lumrah bagi kes yang diadili mahkamah, keputusannya sukar dipastikan kerana ia boleh berpihak pada mana-mana pihak.

Singapura, kata beliau, tidak mempunyai 'Pelan B' sekiranya negara ini gagal dalam tuntutan mendapatkan hak ke atas pulau tersebut.

Menurut Profesor Jayakumar, baru-baru ini para pegawai Malaysia dan Singapura berhubungan bagi memastikan 'pelaksanaan penguatkuasaan licin dan bebas masalah' sebaik saja keputusan hak milik ke atas pulau itu diumumkan ICJ.

Keputusan itu kelak sekali gus mengakhiri pertikaian terhadap hak milik pulau yang menempatkan Rumah Api Horsburgh itu, yang terletak kira-kira 40 kilometer ke timur Singapura.

Profesor Jayakumar, yang ditemui media dalam satu sidang akhbar semalam, berkata tugasnya mengendalikan isu tuntutan pulau tersebut adalah antara kemuncak kerjayanya selama 27 tahun di Kementerian Undang-Undang.

Beliau mengundurkan diri sebagai Menteri Undang-Undang pada 1 Mei lalu, digantikan oleh Encik K. Shanmugam, seorang peguam mapan yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Sembawang.

Menceritakan bagaimana tuntutan ke atas pulau itu bermula, Profesor Jayakumar berkata Singapura mentadbir pulau itu sejak 1840-an tetapi pada 1979 Malaysia membuat tuntutan ke atas pulau itu, yang dinamakannya Batu Putih.

'(Pada masa itu) Saya salah seorang anggota delegasi Undang-Undang Kelautan, dengan Duta Besar, Tommy Koh, di Geneva (Switzerland).

'Masa itu Malaysia sedang dalam usaha menerbitkan peta mereka dan Kementerian Ehwal Luar mengirim kawat penting kepada kami di Geneva, meminta saya pergi ke London untuk mencari beberapa dokumen sejarah,' kata Profesor Jayakumar.

Walaupun kini sibuk dengan tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri, Profesor Jayakumar masih meneruskan tugas berhubung dasar luar Singapura yang melibatkan rundingan undang-undang dan penghukuman antarabangsa.
http://klpos.com

No comments:

Post a Comment