28 May 2008

BPR mula siasat kes video Lingam

Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memulakan siasatannya terhadap kes pita video Lingam dan berjanji akan menemubual semua individu yang disebut dalam rakaman itu.

Ia termasuk enam tokoh yang dikenal pasti oleh laporan suruhanjaya siasatan diraja berhubung klip video V.K. Lingam, kata Timbalan Ketua Pengarah (1) BPR Datuk Abu Kassim Mohamed, semalam.

"Kami telah memulakan siasatan terhadap kes ini, tapi saya tak boleh dedahkan apa-apa.

‘Apa yang boleh dinyatakan ialah siasatan ini dibuat mengikut Akta Rasuah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang BPR di Putrajaya.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, siasatan yang dijalankan dengan kerjasama polis itu dimulakan sejurus selepas laporan suruhanjaya berkenaan diumumkan kepada orang ramai kira-kira dua minggu lalu.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mahu siasatan disiapkan menjelang akhir tahun ini. Kami membuat siasatan secara menyeluruh, melihat semua aspek berhubung kes itu, tapi belum memanggil enam tokoh terbabit," katanya.

Suruhanjaya itu ditubuhkan akhir tahun lalu berikutan tersiarnya klip video berkenaan yang memaparkan peguam terkenal Datuk V.K. Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bagi mengatur pelantikan hakim.

Suruhanjaya itu menyiapkan laporannya awal tahun ini.

Pada 16 Mei, Kabinet mengarahkan Peguam Negara segera meminta agensi berkaitan menyiasat tuduhan yang dilemparkan terhadap mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; dua bekas Ketua Hakim Negara - Tun Mohd Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim - bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Vincent Tan dan peguam V.K. Lingam.

Dalam laporannya, suruhanjaya itu berkata terdapat alasan kukuh untuk menyiasat beberapa individu terbabit mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Profesion Guaman 1976 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment