28 May 2008

1,000 bas RapidKL tersadai

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kira-kira 1,000 bas Intrakota dan Parkmay yang perkhidmatannya kini diambil alih oleh RapidKL, tersadai dan menjadi besi buruk hingga menjejaskan keselesaan orang ramai.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, perkara itu juga menjadi bahan cerita rakyat yang hairan kenapa bas tersebut dibiarkan tersadai tetapi pada masa sama RapidKL membeli bas baru.

"Kenapa 'gabungkan' dua syarikat ini tetapi tidak gunakan bas tersebut dan beli bas baru. Sedangkan bas-bas lama dibiar tersadai dan sengsarakan rakyat," katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu menjelaskan kenapa perkara itu berlaku.

"Saya ingin tanya kerajaan adakah ada apa-apa yang tidak kena dalam penjelmaan RapidKL ini? Kalau tidak ada apa-apa, kenapa bas yang masih boleh diguna pakai tetapi tidak digunakan hingga tersadai dan cetus pencemaran," katanya.

Menurut Bung Moktar, dianggarkan kos bas yang dibiarkan tersadai itu ialah RM500 juta.

"Jumlah kerugian ini jika digunakan di kawasan saya (Kinabatangan) boleh keluarkan rakyat daripada kemiskinan. Saya mahukan penjelasan dan tidak mahu teka-teki," katanya.

Bung Moktar turut mempertikaikan langkah Maybank mengambilalih Bank International Indonesia (BII) yang dianggap tidak rasional.

Beliau meminta kerajaan menyiasat perkara itu kerana BII dikatakan berada dalam keadaan muflis.

"Minta siasat kerana tidak mungkin beli bank ini beri manfaat kepada ekonomi negara,'' ujarnya.

Katanya, ini kerana ketika Maybank dan bank-bank lain berlumba-lumba membelanjakan berbilion-bilion ringgit bagi membeli institusi perbankan di negara itu, pekerja dalam industri tersebut di negara ini pula tidak dibela.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment