28 May 2008

Ada pihak hasut Sufiah

KUALA LUMPUR: “Ada pihak cuba pengaruhi Sufiah supaya meneruskan kegiatan pelacuran,” kata Pengerusi Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hamidi Abdul Rahman.

Beliau yang dihubungi malam tadi berkata, pihak berkenaan terbabit secara langsung dalam industri pelacuran dan cuba mengambil kesempatan menghasut wanita genius matematik itu selepas kisahnya disiarkan dalam akhbar edisi on-line News of The World.

“Melalui maklumat yang kami peroleh, pihak atau kumpulan ini mengenali Sufiah sejak tiga tahun lalu selepas dia bercerai.

“Mereka kini sedang mengorak langkah berjumpa Sufiah bagi meracuni fikirannya dengan menawarkan pelbagai janji,” katanya.
Kisah kehidupan Sufiah yang mengejutkan pelbagai pihak didedahkan News of the World pada 31 Mac lalu, apabila wanita yang dianugerah kepintaran semula jadi itu menawarkan perkhidmatan seks melalui laman web di flet kos rendah di Salford, Manchester.


Sufiah menawarkan khidmat seks melalui Internet dengan bayaran 130 paun (RM845) bagi satu sesi untuk menampung kehidupannya.

Bagaimanapun, Hamidi yakin Sufiah tidak akan termakan pujuk rayu pihak terbabit dan sudi menerima pelawaan Pisang untuk dirawat.

“Seperti yang sering saya beritahu sebelum ini, Sufiah seorang yang cerdik dan kami yakin dapat memujuknya. Berdasarkan pertemuan sebelum ini, Sufiah kelihatan seperti sedang mencari jalan keluar daripada kegiatannya.

“Bagaimanapun, perkara ini sangat penting kerana ia membabitkan masa depannya. Berilah dia ruang untuk berfikir semasak-masaknya. Saya bimbang jika kita buat keputusan terburu-buru, Sufiah akan menolak,” katanya.

Justeru, Hamidi berharap rakyat negara ini berdoa dan melakukan solat hajat bagi membuka serta melembutkan hati Sufiah untuk kembali ke pangkal jalan.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment