24 May 2008

Anggota Umno hipokrit, kata Rafidah Aziz

KOTA BAHARU, 23 Mei - Ketua Wanita Umno Dato' Seri Rafidah Aziz hari ini menyelar anggota Umno yang bersikap hipokrit sehingga menyebabkan parti itu berterusan dilanda pelbagai kemelut, lapor Bernama.

Menurut Rafidah, sikap 'yes boss' anggota parti yang mengiakan setiap keputusan dan kata-kata pemimpin walaupun mereka sebenarnya tidak bersependapat, menyumbang kepada masalah yang bertimpa-timpa dihadapi parti ketika ini.

Dengan sikap sebegitu, katanya, tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya Perdana Menteri dan Presiden Umno Dato'eri Abdullah Ahmad Badawi bagi kekalahan besar Umno pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Tidak patutlah kalau nak salahkan presiden semata-mata sehingga suruh dia letak jawatan. Ahli Umno ni ramai yang hipokrit, sebab itulah nakhoda tidak tahu mana nak pergi, dia ingat semua nak pergi satu tempat kerana di depan mereka kata ya, tak pernah ditegur, tapi belakang pula kata lain.

"Bila timbul masalah, suruh tukar nakhoda. Tak bolehlah setiap kali kapal nak karam, kita angkat nakhoda buang ke laut," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan Wanita Umno Kelantan di sini hari ini.

Rafidah berkata pelbagai kemelut yang berlaku dalam Umno kini memberi isyarat kepada anggotanya bahawa sudah tiba masanya mereka berubah dan lebih ikhlas dan berani dalam perjuangan.

"Hakikatnya tidak ada sesiapa yang berani cakap perkara yang menyakitkan hati ketua mereka. Ada yang berani tegur malangnya kalau ketua mereka sakit hati, terimalah padahnya, tapi yang pentingnya, perlu ikhlas dalam perjuangan.

"Ketua pun kenalah terima teguran anak buah dan anggap itu teguran membina. Dua-dua pihak sepatutnya lebih terbuka. Tapi cara tegur tu kenalah betul," katanya.

www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment