24 May 2008

Timbalan Pengarah Perpustakaan Negara mengaku tidak bersalah terima rasuah

Timbalan Pengarah Bahagian Gerakan Literasi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Siti Aishah Sh Ab kadir hari ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM62,550 empat tahun lepas.

Siti Aishah, 48, dari Subang Jaya, didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan RM18,800, dengan memilih SJI Resources Sdn Bhd, syarikat pembekal cenderamata untuk membekalkan cenderamata kepada PNM, di mana syarikat itu milik suaminya, M.Isa Halihan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 17, pejabat PNM, Menara TH Selborn, Jalan Tun Razak, pada 26 April 2004. Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan yang serupa melibatkan RM43,750, pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Sekyen 16 akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan boleh dikenakan denda lima kali nilai suapan, atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Ibu kepada empat anak ini, diwakili peguam Datuk Hamzah Ahmad, memohon wang jaminan yang minimum dan mampu dibayar.

Selain kerana faktor kesihatan tertuduh yang tidak menentu, beliau berkata jika wang jaminan yang tinggi dikenakan seolah-olah mahkamah menghukum tertuduh sebelum disabitkan dengan kesalahan itu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee meminta mahkamah agar menetapkan wang jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Ng berkata ini kerana kedua-dua pertuduhan melibatkan kesalahan yang serius yang melibatkan seorang kakitangan kanan kerjaan.

Beliau turut meminta pasport Siti Aishah diserahkan kepada mahkamah. Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi keduadua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Mohamad Sekeri menetapkan perbicaraan selama dua hari bermula pada 18 Ogos depan.

Kakak ipar Siti Aishah membayar jaminan itu.

No comments:

Post a Comment