24 May 2008

Putera Rayu Mukhriz Hentikan Desakan Minta PM Berundur

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Putera Umno hari ini merayu anggota Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir agar menghentikan segala desakan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur.

Pengerusi Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata anggota Parlimen Jerlun itu seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya sebagai wakil rakyat, selain berusaha membantu memulihkan keadaan dalam parti.

"Ini bukan kali pertama Mukhriz bagi kenyataan (sedemikian). Jadi kita (Putera) merayu beliau menghentikannya kerana banyak lagi yang perlu kita (Umno) lakukan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan majlis mesyuarat Putera Umno di sini malam ini, yang antara lain membincangkan mengenai hala tujunya.

Abdul Azeez berkata anggota Umno perlu terus bergerak ke hadapan dan menerima kenyataan mengenai kemenangan tipis parti itu pada pilihan raya umum pada 8 Mac.

"Kita tak perlu nak tuding jari siapa yang salah terutamanya (terhadap) Presiden. Tidak ada gunanya mengkritik. Apa yang penting kita pandang ke hadapan dan teruskan apa yang diagendakan," katanya.

Menyentuh Skim Peluang Kedua Putera Umno yang memberikan peluang semula kepada golongan belia tercicir dan miskin mendapat pendidikan sempurna, beliau berkata, Putera Umno kini telah memeterai perjanjian dengan 44 kolej untuk menempatkan para belia itu.

Malah setakat ini seramai 1,000 daripada 5,000 belia yang telah berjaya dilahirkan dari program ini telah mendapat pekerjaan di syarikat berkaitan kerajaan dan juga di beberapa syarikat besar.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment