Diserang tonto
BUKIT MERTAJAM: “Saya tak menyangka diserang hingga cedera teruk dan hampir meragut nyawa,” kata pembantu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang cedera diserang hendap sekumpulan lelaki dipercayai ahli kumpulan tonto, kelmarin.
Bagaimanapun, Mohd Azizi Hamzah, 29, berkata kejadian itu tidak melemahkan semangatnya, malah akan terus menjalankan tugas yang diamanahkan.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, katanya, dia menunggang motosikal Yamaha 125Z untuk pulang ke rumahnya di Kulim.
Ketika melalui persimpangan Penanti dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), motosikalnya tiba-tiba gagal dikawal apabila sekumpulan lelaki membaling sebatang besi sepanjang 2.7 meter ke arah rim tayar depan.
“Ketika itu, saya menunggang dengan kelajuan antara 50 hingga 60 kilometer sejam mengakibatkan saya terhumban ke depan serta berguling beberapa kali di atas jalan raya.
“Disebabkan perbuatan khianat itu, lutut kanan saya terkoyak sepanjang 10 sentimeter selain cedera di siku kiri dan anggota badan lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, semalam.
Beliau berkata, kejadian pertama kali berlaku terhadap dirinya itu sukar dilupakan serta mengejutkan keluarganya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, M Gunaselan, ketika diminta mengulas kejadian itu, berkata Mohd Azizi baru saja selesai menjalankan tugas operasi di Relau, Bayan Lepas.
Beliau berkata, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kulim, mangsa ternampak ada empat hingga lima lelaki di tepi laluan di tempat kejadian tanpa diketahui tindakan mereka.
Katanya, seorang daripada kumpulan lelaki terbabit membaling sebatang besi ke rim tayar motosikal mangsa menyebabkan dia terpelanting ke jalan raya.
“Saya kesal dengan kejadian itu, tetapi tidak gentar dengan ancaman seperti itu. Kejadian itu amat serius dan laporan polis akan dibuat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Gunaselan berkata, Mohd Azizi dibantu orang awam yang kebetulan lalu di tempat kejadian dan menghantarnya ke HSJ untuk rawatan.
Beliau berkata, mangsa dimasukkan ke wad untuk menjalani pembedahan kecil di lutut kanannya yang cedera pada jam 11 pagi, semalam.
Setiausaha Agung Kesatuan Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPPM), Azwan Ariffin, berkata kejadian serang hendap itu yang kedua berlaku dalam tempoh empat bulan pertama, tahun ini.
“KPPM menganggap kejadian itu membimbangkan, terutama membabitkan keselamatan pegawai selepas selesai bertugas,” katanya ketika ditemui di pejabat KPDNHEP Seberang Perai Tengah (SPT), Kompleks Sempilai, Seberang Jaya di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya menuntut satu pertemuan dibuat segera dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam menangani isu itu.
Katanya, KPPM memohon bantuan pihak berkuasa khususnya polis untuk melindungi keselamatan pegawai penguat kuasa KPDNHEP yang diugut, terutama selepas selesai bertugas.
Sebelum ini, pada 1 April lalu, enam pegawai penguat kuasa KPDNHEP nyaris maut apabila kenderaan dinaiki dirempuh kereta seorang peniaga cakera padat video digital (DVD) cetak rompak di Lebuhraya Bayan Lepas, dekat Georgetown.
http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment