11 April 2008

Dunia memandang serong terhadap sistem keadilan Malaysia zaman Mahathir

Tiada permohonan maaf kepada Salleh Abas

PUTRAJAYA 10 April - Kerajaan mengambil pendirian untuk tidak memohon maaf kepada Tun Salleh Abas yang dipecat daripada jawatan Ketua Hakim Negara, 20 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, bagaimanapun satu cara akan difikirkan untuk memulihkan kedudukan bekas Ketua Hakim Negara tersebut.

"Saya tidak nampak perlunya kita minta maaf dalam hal ini, tetapi biarlah kita putuskan bila (satu) kertas kerja dibentangkan kepada Kabinet nanti.

"Yang penting kita ada satu cara yang dapat memulihkan kedudukan Tun Salleh. Saya tidak mahu mengulas lanjut nanti timbul masalah lain pula, tetapi perkara itu akan dibincangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-47 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Abdullah ditanya pendirian muktamad kerajaan dalam isu permohonan maaf kepada Salleh yang dipecat semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 20 tahun lalu.

Isu permohonan maaf itu telah ditimbulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, yang menyatakan bahawa ia merupakan kesalahan besar yang meninggalkan kesan sehingga hari ini.

Menurut Zaid, tindakan tersebut juga memalukan negara apabila dunia memandang serong terhadap sistem keadilan Malaysia.

Dalam pada itu ketika ditanya kenyataan Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad bahawa Suruhanjaya Pelantikan Hakim wajar diwujudkan jika ia dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap ketelusan badan kehakiman, Perdana Menteri berkata:

"Mesej sekarang ialah kita mahu mulakan lembaran baru untuk mereformasikan sistem kehakiman. Perbincangan awalan mengenainya telah diadakan di peringkat Kabinet.

"Ikut kajian dan persediaan pada waktu ini, saya harap ia boleh dikemukakan dalam masa yang tidak lama."

Semalam, Abdul Hamid berkata, tidak ada salahnya kerajaan membuat keputusan mewujudkan suruhanjaya itu jika ia diyakini dapat membantu mengenal pasti calon hakim yang layak dinaikkan pangkat, sekali gus menepis tuduhan campur tangan kerajaan dalam pelantikan hakim.

http://www.utusan.com

No comments:

Post a Comment