20 April 2008

Tabik polis Malaysia

Empat Ditahan Berhubung Kes Rompakan Di KLIA

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Polis telah menahan empat lelaki di Johor dan merampas lima pucuk pistol automatik serta sebahagian daripada wang rompakan sejak Jumaat berhubung siasatan kes rompakan $1.5 juta (RM3.5 juta) di luar balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang 9 April lalu.

Menurut sumber polis, kesemua mereka ditahan di Skudai oleh satu pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Tiga daripada mereka ditahan semalam manakala seorang lagi ditahan petang ini dan polis masih mencari beberapa lagi individu bagi membantu siasatan," kata sumber itu kepada Bernama hari Sabtu.

Polis juga berjaya menemui beberapa bukti berkaitan rompakan itu dengan penahanan keempat-empat individu itu.

Pengarah Siasatan Jenayah Datuk Bakri Zinin ketika dihubungi enggan mengesahkan mengenai penahanan itu. Bagaimanapun, Bernama difahamkan bahawa satu sidang akhbar dijadual esok di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor berhubung tangkapan itu.

Pada kejadian 7.50 malam itu, enam orang termasuk seorang anggota polis, seorang warganegara Nepal dan dua pengurup wang cedera ditembak oleh empat lelaki dalam rompakan nekad di luar balai berlepas KLIA.

Kejadian itu berlaku sebaik sahaja kedua-dua pengurup wang yang diiringi dua pegawal peribadi keluar daripada kenderaan dengan membawa beg berisi wang dolar Singapura berkenaan untuk bertemu dengan seorang rakan yang baru tiba dari Singapura.

Sementara itu di PETALING JAYA, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata siasatan terhadap kes rompakan itu telah menghasilkan perkembangan positif.

"Kalau saya senyum maknanya adalah perkembangan. Tapi tunggu sehingga siasatan dari Bukit Aman selesai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran kaunter bayaran saman dan Rakan Cop di pusat membeli-belah The Curve di sini hari Sabtu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment