NEW YORK 19 April – Harga pasaran hadapan minyak mentah dunia mencatat rekod baru pada AS$117 (RM367.80) setong semalam berbanding AS$115.17 (RM362.05) kelmarin.
Harga minyak mentah Brent bagi penghantaran bulan depan di London turut mencatat rekod baru pada AS$113.92 (RM358.10).
Kenaikan berterusan lima hari berturut-turut, menyebabkan harga runcit gas turut melonjak di pasaran Amerika Syarikat (AS) sebanyak 2.7 peratus kepada AS$3.445 (RM10.80) segelen.
Peningkatan sebanyak AS$1.83 (RM5.75) itu didorong oleh kejatuhan bekalan minyak mentah ke AS berikutan serangan ke atas saluran paip utama Shell PLC di Nigeria dan nilai dolar.
Jurucakap syarikat Shell mengesahkan saluran paip utama di negara itu bocor akibat letupan dipercayai serangan puak pemberontak.
Nigeria merupakan negara pengeksport minyak mentah terbesar ke AS.
Serangan ke atas kemudahan infrastruktur minyak di Nigeria sejak awal tahun 2006, menyebabkan pengeluaran minyak mentah di negara itu berkurangan hampir satu pertiga.
“Sebarang tekanan geopolitik akan mendorong kenaikan harga minyak mentah di pasaran,” kata Presiden Excel Future, Mark Waggoners kepada agensi berita Dow Jones.
Kenaikan harga minyak mentah di New York pada mulanya dapat dikekang berikutan kekuatan nilai dolar berbanding euro.
Penganalisis percaya, kejatuhan nilai dolar merupakan punca utama kenaikan harga minyak melebihi AS$100 setong sejak awal tahun ini.
Mereka percaya kejatuhan nilai dolar itu antara lain disebabkan tindakan Federal Reserve memotong kadar tukaran dolar berbanding mata wang utama dunia lain, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak mentah dunia.
– AP
No comments:
Post a Comment