20 April 2008

"Dua muka talam, muka dua talam atau talam dua muka" jawapannya ada pada Samy Vellu

Ugutan Samy macam suara Hindraf

Dalam kata duanya kepada kerajaan, Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu berkata beliau akan mendapatkan bantuan daripada Negara lain sekiranya kerajaan tidak memenuhi kehendak masyarakat India yang diwakilinya.

Kenyataan ini dinyatakan dalam temubual dengan laman Malaysiakini.com, hari Selasa.

Beliau mengeluarkan kata dua itu kerana mendakwa selama ini kerajaan tidak melihat kehadiran dan peranan masyarakat India pada tahap sewajarnya.

Antara lain beliau memberi contoh, masyarakat India tidak diberi peluang memiliki rumah murah mengikut keperluan, peluang pekerjaan yang terhad dalam sektor awam, bantuan kewangan yang terlalu sedikit untuk pendidikan dan penyertaan yang amat sedikit dalam ekonomi Negara.

Kenyataan ini ibarat ‘u-turn’ 360 darjah daripada kenyataannya sebelum tewas dalam pilihanraya umum yang lalu. Sebelum ini, kenyataan-kenyataan seperti itu dibawa dan diwar-warkan oleh sebahagian masyarakat India Malaysia yang menggelarkan diri mereka Hindu Rights Action Force (Hindraf).

Kata Samy ketika itu; “Karut!” dan mengakui beliau sendiri telah membawa perkara-perkara tersebut ke pengetahuan Jemaah Menteri. Katanya juga, dakwaan-dakwaan Hindraf adalah palsu dan tidak benar kerana masyarakat India telah menikmati banyak faedah daripada kemajuan yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional.

Kini, pendirian Samy sudah agak berbedza. Dia pula yang kata, orang India Malaysia tidak mendapat pembelaan. Jika dahulu, Hindraf pergi ke India untuk mendapatkan sokongan, kini Samy sendiri mahu ke luar negara mendapatkan bantuan.

Nampak gaya, suara Hindraf senada dengan suara MIC atau sekurang-kurangnya seirama dengan suara Samy Vellu!

Apakah agaknya yang mendorong Samy ‘berpatah-balik? Sangkaan pertama ialah, dia tidak berpatah balik, tetapi suara Hindraf sebelum pilihanraya memang suara beliau atau suara MIC. Kedua, beliau sanggup memberi ugutan kepada kerajaan semata-mata mahu mencari populariti.

Bagi sangkaan pertama, ada orang berpendapat, Hindraf adalah ‘tangan’ MIC yang dijadikan alat sebagai ‘pressure group’. Hindraf kononnya digunakan untuk mempercepat tuntutan dan kemahuan masyarakat India. Itulah sebabnya, walaupun Hindraf bukannya organisasi berdaftar, ia mendapat sambutan hebat termasuk daripada ahli-ahli MIC sendiri.

Keputusan kerajaan memberikan cuti umum untuk Wilayah Persekutuan bagi perayaan Thaipusam adalah salah satu daripada tuntutan itu. Ini amat membanggakan masyarakat India. Demikianlah sangkaan umum mengenai peranan Hindraf.

Bagaimanapun, banyak lagi tuntutan yang belum diperolehi. Dahulu Samy duduk di kerusi empuk sebagai anggota kabinet, kini beliau di luar.

Oleh itu, beliau sendiri boleh memainkan peranan yang dimainkan oleh Hindraf selama ini. Beliau bukan lagi seorang menteri tetapi masih menjadi Presiden parti MIC. Beliau pernah berkata, beliau akan menjadi pemimpin utama parti itu sampai bila-bila.

Jadi, dengan kenyataan itu, timbullah sangkaan kedua iaitu mahu mencari populariti – untuk kelangsungan hidup sebagai presiden parti. Untuk mendapat kembali keyakinan masyarakat dan ahli MIC, Samy wajib memenangi hati setiap anggota masyarakat India.

Beliau tiada pilihan lain. Untuk menjadi presiden, beliau juga harus menjadi hero – hero kepada orang India, walaupun beliau terpaksa mengugut bosnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan kata dua.

Elok juga Samy memperlihatkan belang dan taringnya sekarang. Maklumlah, selama ini beliau lebih dilihat hanya berkokok atas sifatnya sebagai menteri – bukan sebagai Presiden MIC.

Jika gelagat beliau kini adalah langkah untuk menghadapi pemilihan parti akan datang, biarkanlah beliau begitu. Ahli-ahli MIC yang akan menentukan pucuk pimpinan mereka kelak. Mereka boleh menilai sifat-sifat pemimpin yang sebenar dan mereka juga tahu yang mana talam dua muka dan sebaliknya.

Namun, kerajaan harus proaktif terhadap hasrat Samy hendak mencari bantuan dari luar. Biarlah Hindraf sahaja melakukan apa yang tidak patut dilakukan. MIC sebagai parti komponen Barisan Nasional tidak harus dibiarkan begitu.

http://agendadaily.com

No comments:

Post a Comment