Orang awam sertai s'jaya hakim
Orang awam dan golongan profesional akan dilantik menganggotai Suruhanjaya Pelantikan Hakim, seperti diumumkan perdana menteri baru-baru ini, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Beliau berkata, penyertaan semua peringkat masyarakat dalam suruhanjaya itu termasuk hakim kanan, peguam dan profesor dapat menghindarkan kecurigaan orang ramai terhadap institusi kehakiman di negara ini.
"Kita tidak mahu ada pihak yang masih mempersoalkan pelantikan seseorang hakim... ia perlu melibatkan semua pihak agar pemilihan itu tidak dipertikaikan," katanya di Kota Bharu hari ini.
Zaid berkata masyarakat mengharapkan satu sistem yang adil dalam pelantikan seseorang hakim.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata beberapa contoh suruhanjaya yang ada di negara-negara lain akan dijadikan rujukan.
"Model England adalah baik, begitu juga beberapa negara Eropah, Thailand, Afrika Selatan ada sistem kehakiman yang dibanggakan dan inilah model-model yang boleh kita gunakan," beliau dipetik sebagai berkata.
Sementara itu, setelah kerajaan bersetuju membayar ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan atas krisis 1988, DAP bertanya bila lagi kerajaan membuat bayaran yang sama terhadap beberapa ahli politik yang turut dianggap "mangsa kegelapan badan kehakiman" selama dua dekad.
Dalam kenyataan di blognya semalam, tokoh utama parti itu Lim Kit Siang menamakan beberapa tokoh, antaranya mantan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas hakim mahkamah tinggi Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid, dan juga mereka yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987.
Lim, dan anaknya Lim Guan Eng yang kini ketua menteri Pulau Pinang, antara 106 yang ditahan bawah ISA sewaktu Operasi Lalang.
Anwar dipecat atas dakwaan salah laku moral dan amalan korupsi pada 1998 dan kemudiannya dipenjarakan selama enam tahun.
Sementara Syed Ahmad Idid pula seorang hakim yang mendedahkan skandal 12 hakim pada 1996 dan dipecat tanpa sebarang penghakiman - beliau hanya membuat pengakuan terbuka sepuluh tahun kemudian.
http://www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment