Sokong larang eksport babi
Ramai sokong langkah kerajaan sekat eksport babi
KUALA LUMPUR 20 April - Ketegasan kerajaan yang tidak membenarkan eksport daging babi disifatkan sebagai langkah tepat untuk memastikan negara tidak berhadapan dengan kemungkinan penularan wabak pembunuh ekoran peningkatan jumlah ternakan babi bagi pasaran eksport.
Selain itu, pelbagai pihak turut menyifatkan dasar kerajaan yang dijelaskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak itu penting kerana jika tidak, Malaysia boleh berada dalam peta dunia sebagai antara negara pengeksport utama daging babi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan, Datuk Yunus Rahmat berkata, peristiwa hitam di Bukit Pelandok pada 1999 seharusnya menjadi iktibar penting.
Katanya, penternakan babi di kawasan itu yang cukup besar dengan sebahagiannya bagi pasaran Singapura mengundang bencana hingga mengorbankan lebih 100 nyawa.
''Jadi, pada saya kawasan yang masih ada untuk pertanian ini sewajarnya kita tumpukan untuk meningkatkan sumber makanan bagi keperluan dalam negara.
''Itu lebih penting dan bukan memikirkan hanya soal komersial sedangkan banyak kesan buruk yang perlu ditanggung berbanding keuntungan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Najib dalam reaksinya terhadap laporan Utusan Malaysia mengenai cadangan syarikat China untuk mengimport daging babi dari Malaysia, menegaskan, penternakan babi di negara ini hanya bagi menampung keperluan tempatan.
Sehubungan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, ura-ura untuk menjadikan Malaysia negara pengeksport daging babi tidak patut timbul melainkan ia dikehendaki oleh kerajaan negeri tertentu.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam, Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal berkata, semua pihak termasuk kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor yang berhasrat membuka ladang babi moden sepatutnya bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, walaupun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan awalnya memaklumkan ladang babi moden di Sepang itu bukan untuk eksport, pendirian itu perlu konsisten.
Beliau berharap ladang babi moden yang bernilai RM100 juta itu sekiranya berjaya nanti akan dijadikan alasan pula supaya Selangor menceburi pasaran eksport yang sangat lumayan terutama di China.
''Itu yang saya bimbang. Peruntukan RM100 juta itu saya fikir sangat besar jika sekadar untuk mewujudkan ladang bagi memenuhi permintaan babi dalam Selangor.
''Sebab itu saya tidak menolak kemungkinan ada cadangan untuk mengeksportnya pada masa hadapan di sebalik pembinaan ladang itu. Saya mendesak agar dihentikan perancangan itu bagi mengelak malapetaka wabak yang lebih besar.
''Pemimpin Selangor tentu boleh faham dengan sensitiviti rakyat kerana mereka juga orang Islam dan Melayu,'' tegas ADUN Taman Templer itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob turut menggesa supaya penternakan babi di Sepang dijalankan hanya untuk memenuhi keperluan dalam negara.
Katanya, selain kebimbangan wabak dan sensitiviti masyarakat setempat, cadangan mengeksport babi juga jika diteruskan akan menambah kerumitan tentang soal penempatan ladang babi.
''Sewajarnya kita rakyat Malaysia menceburi bidang yang tidak menimbulkan sensitiviti dan juga kontroversi.
''Banyak lagi sektor yang mampu memberikan keuntungan dan saya harap semua rakyat Malaysia memahami hal ini,'' ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Unit Penternakan Babi, Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia, Beh Kim Hee ketika dihubungi enggan mengulas reaksi negatif pihak kerajaan berhubung cadangan eksport daging babi ke China.
''Saya tidak mahu komen apa lagi, tunggu dulu masanya,'' katanya.
http://www.utusan.com.my
Ladang babi komersil dilarang di K'tan
Kerajaan Kelantan tidak akan membenarkan mana-mana pihak membuka ladang ternakan babi secara komersil di negeri tersebut.
"Cukuplah ladang yang sedia ada (yang diternak oleh bukan Islam) di belakang rumah," kata menteri besar Datuk Nik Aziz Nik Mat kepada pemberita di Pasir Puteh.
Mengenai cadangan kerajaan Selangor untuk meluluskan ladang ternakan babi secara komersial, Bernama memetik beliau sebagai berkata:
"Kita sokong asalkan ia tidak akan mencemarkan alam sekitar dan penduduk bukan Islam juga berhak dalam soal menternak babi ini," katanya hari ini.
Kerajaan Selangor meluluskan cadangan itu kepada sebuah syarikat untuk menternak babi di Sepang.
Katanya, tiada sebab mana-mana pihak menghalang cadangan itu sekiranya syarikat yang mengusahakan ladang berkenaan dapat memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
http://www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment