16 April 2008

Semuanya kerana cinta

gambar : IBU Yuni (dua dari kiri) menjadi perantara perbincangan antara Che ishak (duduk dua dari kanan) dengan keluarga Tony dalam satu pertemuan di Mataram semalam.

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) - Cinta punca utama kenapa Che Siti Nor Azreen, 12, (Azreen) sanggup melarikan diri bersama seorang lelaki ke Sakra, Lombok Timur, Indonesia sejak empat bulan lalu.
Demi cinta juga gadis itu sanggup bersama Tony Wijaya atau Suparman, 27, dan sanggup mengikutinya ke rumah lelaki itu di Dusun Terentum, Desa Kabar, Sakra.

Azreen juga mengaku rela meredah Selat Melaka melalui perairan Johor sebelum memasuki wilayah Indonesia melalui Tanjung Pinang sebelum merentasi Surabaya dan Bali selama lebih empat hari sebelum tiba di Lombok Timur.

Ini diakui sendiri oleh Azreen dalam pertemuan singkat dengan bapanya, Che Ishak Che Kob, 47, hasil usaha Migrant CARE, di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak seliaan Jabatan Kebajikan Sosial Lombok Timur di sini semalam.

Menurut Che Ishak, atas sebab yang sama juga Azreen masih enggan pulang menemui keluarganya di Ladang Ulu Sawah, Rantau, Negeri Sembilan.

Sementara itu, menurut kaunselor Azreen dari Jabatan Kebajikan Sosial Lombok Timur, Ibu Yuni, pihaknya terpaksa akur dengan kehendak Azreen memandangkan beliau kini masih dalam proses pemulihan.

"Pada mulanya Azreen berkeras tidak mahu berjumpa bapanya (Che Ishak) namun setelah dinasihati serta dapat tenangkan barulah dia mahu mengadakan pertemuan itu.

"Mungkin ada perkara yang beliau cuba pendamkan, hari ini (semalam) kita akan aturkan semula pertemuan ini sekali lagi, itu pun atas pujukan Tony dan ahli keluarganya di sini," katanya.

Sementara itu, wakil Migrant CARE di Lombok Timur, Roma Hidayat, berkata, pihaknya perlu menghormati keputusan Azreen memandangkan kesnya sedang disiasat pihak berkuasa Indonesia.

"Apapun kita sudah mengemukakan pelbagai bukti berhubung status Azreen yang sebenar kepada mereka seperti sijil kelahiran, MyKad dan pelbagai sijil yang dibawa oleh bapanya ke sini.

"Sekarang terpulanglah kepada kebijaksanaan polis untuk menyelesaikannya, sebab perkara ini amat rumit kerana melibatkan hukum adat dan hukum sivil,'' katanya.

"Apa yang penting misi kita untuk mempertemukan kedua-dua beranak ini sudah berhasil," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment