Perompak KLIA, bekas tahanan
KUALA LUMPUR - Polis yakin empat penjenayah yang terlibat merompak RM3.45 juta milik sebuah pengurup wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 9 April lalu merupakan penjenayah tegar yang juga bekas tahanan Penjara Simpang Renggam.
Keempat-empat penjenayah tersebut sudah dikenal pasti dan gerakan besar-besaran kini dilancarkan untuk mengesan mereka.
Mengikut sumber, polis kini percaya keempat-empat mereka itu telah meninggalkan Lembah Klang dan masing-masing berpecah bagi menyukarkan polis mengesan pergerakan mereka.
"Berilah polis sedikit lagi masa untuk menyelesaikan kes ini. Lagipun bukan senang untuk menjejaki benda yang bergerak (suspek).
"Bagaimanapun kita yakin akan dapat sesuatu dalam tempoh terdekat berikutan identiti mereka telah dikenal pasti dan siasatan mendapati suspek-suspek merupakan bekas tahanan Penjara Simpang Renggam," katanya di sini semalam.
Khamis lalu akhbar melaporkan, empat lelaki bersenjatakan pistol menggemparkan balai ketibaan KLIA dalam kejadian berbalas tembak sebelum kumpulan perompak itu melarikan wang RM3.45 juta.
Dalam kejadian itu, enam lelaki termasuk seorang anggota polis, dua pengawal keselamatan syarikat pengurup wang tersebut dan seorang rakyat Nepal cedera akibat terkena peluru sesat.
Menurut sumber itu, laporan awal Unit Forensik juga mendapati suspek-suspek menggunakan pistol jenis automatik.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi memberitahu, pihaknya dijangka mengedarkan fotofit keempat-empat suspek tersebut dalam tempoh terdekat.
http://www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment