Gerakan gesa kerajaan kaji semula penahanan Manoharan
KUALA LUMPUR: Gerakan hari ini menggesa Menteri Dalam Negeri menyemak semula keputusan untuk terus menahan peguam M. Manoharan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam kenyataan hari ini, naib presiden parti itu Datuk Dr S. Vijayaratnam berkata memandangkan Manoharan telah diberi mandat oleh pengundi di kawasan Kota Alam Shah sebagai wakil mereka pada pilihan raya umum bulan lepas, maka keputusan untuk menahan beliau mengikut ISA perlu disemak semula.
"Beliau mendapat lebih 12,600 undi, lebih kurang 7,000 undi majoriti dan ini menunjukkan mereka mempunyai keyakinan terhadapnya. Tindakan menahannya secara berterusan bererti membelakangkan kehendak rakyat," kata Vijayaratnam.
Beliau berkata sekurangkurangnya, Manoharan patut dibenarkan mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri.
Manoharan ditahan Disember lepas kerana didakwa terlibat menganjurkan perhimpunan haram pada 25 Nov dan mengeluarkan kenyataan yang menghasut rakyat supaya menentang kerajaan.
Beliau merupakan tahanan ISA ketiga yang bertanding atas tiket DAP pada pilihan raya umum.
Pada pilihan raya umum 1978, Chan Kok Kit dan Chian Heng Khai yang bertanding atas tiket parti itu bagi kerusi Parlimen Sungai Besi (Selangor) dan Batu Gajah (Perak), turut mencatat kemenangan. BERNAMA
No comments:
Post a Comment