12 April 2008

Suspek bunuh Nurul direman

SUSPEK kes bunuh Nurul Anira dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli semalam.

KOTA BHARU - Tiada siapa menduga seorang tukang kayu yang sering mengguna laluan di hadapan rumah Nurul Anira Che Rosik, 17, yang ditemui mati dibunuh selepas diperkosa, merupakan suspek utama terhadap kejadian yang menimpanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, lelaki berusia 34 tahun dan dikenali mangsa ditahan pukul 6 petang kelmarin dan dia kini direman sehingga Khamis ini.

"Lelaki itu ditahan selepas dia dipanggil untuk memberi keterangan memberi jawapan yang meragukan,'' kata beliau.

Menurutnya, suspek itu masih bujang dan tinggal beberapa kilometer dari kediaman mangsa di Kampung Chegar Bedil di sini.

Kata beliau, sebagai tukang rumah, suspek itu sering melalui laluan berhampiran rumah mangsa untuk ke tempat kerjanya di kampung mangsa.

Difahamkan, pelajar itu menjadi mangsa bunuh dan perkosa sebab dendam dan sakit hati terhadap keluarga mangsa.

Ujarnya, dengan penahanan itu, polis yakin dapat menyelesaikan kes tersebut. Selain suspek, polis telah mengambil keterangan 10 orang saksi termasuk tiga pelajar.

Ahad lalu, seluruh penduduk di Kampung Reka gempar apabila mayat Nurul Anira yang hilang pada hari Sabtu ditemui di kebun getah tidak jauh dari rumahnya.

Mangsa merupakan seorang pelajar cemerlang dan tersenarai sebagai bakal calon terbaik SPM di negeri ini.

Sementara itu, ibu mangsa, Rosnani Rahim berkata, dia berharap orang yang bertanggungjawab terhadap kematian anaknya didakwa.

"Mak cik memang mahu lihat dia (suspek), tetapi polis minta tunggu dulu,'' katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Ahli Parlimen Jeli turut melawat keluarga mangsa pagi semalam.

Beliau mencadangkan agar semua pelajar yang tinggal di pedalaman daerah itu ditempatkan di asrama sekolah berdekatan bagi mengelak kejadian serupa.

Masih terbayang wajah Nurul

JELI - "Nurul sempat lambai tangan kepada saya semasa turun daripada bas pada hari tu... tak sangka itu menjadi kali terakhir kami berjumpa.''

Itu luahan Siti Zubaidah Abdullah, 17, yang menaiki bas bersama mangsa pembunuhan kejam, Nurul Anira Che Rosid, 17, atau lebih mesra dipanggil Nurul sebelum mayatnya ditemui polis di sebuah kebun getah di Kampung Chegar Bedil dekat sini petang Ahad lalu.

Beliau yang juga teman rapat mangsa dan selalu berdiskusi soal pelajaran bersama di sekolah hanya mengetahui kejadian tersebut setelah dimaklumkan oleh salah seorang rakannya melalui telefon malam kelmarin.

"Saya terkejut, Nurul tak banyak bercakap semasa kami sama-sama tunggu bas di hadapan Hospital Jeli selepas tamat kelas tambahan di sekolah Sabtu lalu.

"Kami menaiki bas yang sama pada hari kejadian sebelum dia turun di simpang ke kampungnya manakala saya meneruskan perjalanan ke rumah.

"Sehingga kini saya masih terbayang-bayang wajah ceria Nurul," ujarnya yang ditemui di rumahnya di sini semalam.

Menurut Siti Zubaidah lagi, pada hari kejadian mereka pergi ke kelas tambahan bagi mata pelajaran Sejarah dan Matematik tambahan di Sekolah Menengah Jeli (1) pukul 8.30 pagi dan berakhir pukul 12 tengah hari.

"Walaupun Nurul seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap tetapi dia seorang pelajar yang pintar di dalam kelas kami," kata Zubaidah lagi.

Sementara itu, seorang lagi rakan mangsa, Wan Nordalila Atilah Wan Mohamad, 17, memberitahu, dia mula mengenali mangsa sejak setahun lalu selepas dia (mangsa) bertukar masuk ke sekolah itu dari Pahang.

Katanya, kali terakhir beliau bertemu Anira pada Jumaat lalu ketika dia asyik membuat latihan mata pelajaran Matematik di kelas dan ketika itu tiada sebarang perubahan ditunjukkan oleh mangsa yang baginya seorang yang baik dan peramah.

"Saya cukup sedih bila mengetahui kejadian itu..Nurul seorang pelajar cemerlang apabila sering tersenarai antara 10 pelajar cemerlang di dalam kelas kami.

"Kehilangannya amat kami rasakan, dan harap penjenayah itu ditangkap dan diadili serta dijatuhi hukuman sekeras-kerasnya," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kijang, Wan Ubaidah Omar ketika ditemui berkata, penjenayah yang membunuh Nurul sebagai lelaki yang jenis tidak menghormati wanita dan perlu dihukum.

"Perbuatan kejam itu dilaknati Allah dan berharap mereka terbabit menerima balasan setimpal,'' katanya ketika ditemui selepas menemani isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak melawat keluarga mangsa di sini lewat petang semalam.

http://www.kosmo.com.my

1 comment: