BUKIT BERUNTUNG: Seorang artis lelaki yang sedang melayani gadis berusia 20-an di rumah sewanya di sini dicekup penduduk dengan bantuan polis dalam serbuan, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
Artis lelaki berusia 36 tahun yang juga vokalis satu kumpulan popular sekitar 1990-an itu didapati berkhalwat dengan guru taman asuhan kanak-kanak (taska) yang berasal dari sini.
Perbuatan tidak bermoral artis popular dengan lagu rakyat diremix itu dihidu persatuan penduduk Apartmen Mawar di sini, sebelum serbuan dibuat dengan kehadiran dua anggota dari Balai Polis Bukit Sentosa.
Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Mawar, Nor Azeman Mad Zin, 38, berkata pihaknya membuat intipan sejak lebih sebulan lalu selepas menerima aduan kegiatan artis terbabit yang menyewa rumah di situ.
Katanya, beliau mendapat panggilan telefon daripada rakannya, Mad Esha Shaari, jam 9.15 pagi memaklumkan kelibat seorang gadis memasuki rumah artis itu.
“Kami menghubungi polis dan Pejabat Agama Islam Hulu Selangor memaklumkan perbuatan ini. Penduduk berang dengan kegiatan artis yang sering bertukar pasangan bermadu kasih di rumah sewanya itu.
“Kami gagal mendapatkan pengesahan wakil pejabat agama untuk sama-sama turun padang membanteras perbuatan itu menyebabkan penduduk bertindak sendiri dengan bantuan polis.
“Selepas mengumpul 10 penduduk dan dua anggota polis, kami mengetuk pintu rumah artis itu. Pintu rumah dibuka lima minit kemudian. Artis itu memakai seluar pendek dan tidak berbaju meminta masa kerana hendak mandi terlebih dalu.
“Dia mengakui ada seorang perempuan bukan mahramnya dalam rumah itu. Kami tunggu lebih 20 minit barulah pasangan itu muncul,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Penyanyi berkumpulan itu dikatakan tinggal berseorangan kerana isterinya bertugas sebagai pramugari kini menetap di England bersama tiga anak mereka.
Ketika disoal, kata Nor Azeman, artis itu tanpa rasa bersalah dengan selamba mengaku melakukan kesalahan, malah turut mempelawa penduduk yang berkumpul di depan pintu rumahnya supaya masuk sebaik membuka pintu.
Penduduk dan polis membawa pasangan berkenaan ke Balai Polis Bukit Sentosa untuk diambil keterangan pada jam 10.30 pagi, sebelum diserahkan kepada Pejabat Agama Islam Hulu Selangor.
“Artis itu mengakui kesalahannya dan berjanji berkahwin dengan gadis itu. Dia berani menyatakan gadis itu juga mempunyai kunci rumah sewanya dan sering ke situ,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Bukit Sentosa, Cif Inspektor Babu Salim mengesahkan menerima laporan penduduk mengenai kes khalwat itu, namun menyerahkan kepada Jais untuk tindakan lanjut.
http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment