KUALA LUMPUR: Penulis blog bakal diberi peluang meluahkan pendapat dan isi hati mereka secara langsung menerusi rancangan televisyen baru yang akan diterbitkan RTM1 mulai pertengahan bulan ini.
Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata rancangan diterbitkan setiap Ahad bermula 20 April, akan menampilkan bual bicara selama 20 minit dengan penulis blog.
Beliau berkata, rancangan berbentuk perbincangan secara serius berkenaan diberi tajuk ‘Blog’ dan akan disiarkan dari jam 8.40 hingga 9 malam.
“RTM mempunyai panel yang akan mengenal pasti penulis blog yang serius dan kita akan menjemput mereka berbincang mengikut topik semasa,” katanya pada sidang akhbar di Angkasapuri, di sini, semalam.
Ahmad Shabery berkata, siaran langsung itu akan menjadi segmen tetap dan diteruskan mengikut kesesuaian serta selagi ia mendapat sambutan penonton.
Beliau berkata, program itu adalah sebagai pengiktirafan kepada sumbangan idea dan pendapat penulis blog mengenai isu semasa yang dapat membantu pembangunan negara.
“Ia juga membuktikan sikap keterbukaan kerajaan yang sedia untuk mendengar sebarang cadangan dan pendapat penulis blog untuk dikongsi bersama rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata, penulis blog yang dijemput belum dikenal pasti namun mungkin ada kejutan dari segi personaliti yang dijemput.
http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment