08 April 2008

Mahathir mengaku tidak terbabit dalam perbicaraan Anwar

'Shafee balas dendam kepada saya'

Bekas ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) berdendam kepada saya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini - menjawab keterangan Datuk Shafee Yahya lapan tahun lalu.

Dalam suratnya kepada The Sun, mantan perdana menteri berkata keterangan Shafee dalam perbicaraan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2000 "tidak terlalu banyak membantu Anwar. Tetapi ia memang memburukkan nama baik saya."

"Saya bukan pihak yang terbabit dalam perbicaraan (kes liwat) Anwar. Jika saya ingin dituduh, saya sepatutnya diizinkan berpeluang membela diri.

"Tetapi jelas sekali Shafee melihat perbicaraan Anwar sebagai satu peluang mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan nama baik saya.

"Shafee seorang lelaki pemarah dan apa yang dia sampaikan di mahkamah bersifat mengambil kesempatan dan nampaknya mencerminkan hasratnya untuk membalas dendam terhadap saya," suratnya dipetik.

Beliau menjawab desakan bekas pegawai khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Datuk Param Cumaraswamy minggu lalu agar keterangan Shafee itu dijadikan asas siasatan.

Param pula membuat desakan itu susulan kenyataan awal Dr Mahathir - juga melalui sekeping surat kepada The Sun tanggal 28 Mac - yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung siasatan sebarang "kesalahan" selama 22 tahun sebagai perdana menteri.

Kecuali ada penganiayaan, kata Dr Mahathir dua minggu lalu, tiada sebarang kesalahan yang dilakukannya sepanjang tempoh tersebut.

Beliau menambah, rakyat "tidak yakin" dengan siasatan yang dijalankan oleh agensi dan jabatan kerajaan kerana mereka mendakwa berlaku campur tangan.

"Untuk membersihkan namanya, kerajaan perlu mendapatkan khidmat agensi asing yang berwibawa untuk menjalankan siasatan. Tentulah, mereka (agensi asing itu) mesti diberi akses sepenuhnya terhadap dokumen dan lain-lain," kata Dr Mahathir, asal mengulas isu peranan Raja-raja Melayu dalam pelantikan menteri besar dan juga gesaan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, agar kerajaan memohon maaf kepada hakim-hakim yang menjadi mangsa krisis 1988.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment