08 April 2008

Jawatankuasa disiplin UIA tangguh prosiding tatatertib ke atas Meor Isfandi tanpa sebab

Tubuh parti: UIA tunda dakwa siswa

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menangguhkan tindakan tatatertib berhubung penglibatan seorang pelajarnya menjelang pilihanraya umum lalu.

Meor Isfandi Meor Azizan, pelajar tahun akhir jurusan pengajian Islam dan sains politik, dipanggil untuk menghadap jawatankuasa disiplin universiti itu semalam.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan penangguhan tersebut dalam satu mesej emel bertarikh 2 April daripada unit undang-undang, Pejabat Rektor UIA.

Menurut Meor Isfandi hari ini, beliau tidak menyedari mesej tersebut sehinggalah petang Jumaat lalu - hari berita tindakan terhadapnya pertama kali dilaporkan Malaysiakini.

UIA tidak menyatakan tarikh baru prosiding tatatertib itu dan tidak pula menyebut sebab-sebab ia ditangguhkan, katanya lagi.

Meor Isfandi menghadapi dua pertuduhan, pertama memberikan kenyataan umum mengenai penubuhan dan agenda Parti Mahasiswa Negara (PMN) di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada 7 Januari lalu dan kedua, dituduh menubuhkan PMN.

Sekumpulan mahasiswa ke pejabat SPR awal tahun ini untuk mendaftarkan penubuhan PMN bagi menghadapi pilihanraya umum ke-12.

Sehingga kini ia belum didaftarkan (foto bawah).

PMN mendakwa ia mendapat sokongan 2,000 pelajar institusi pengajian tinggi.

Dalam kenyataan awal, Meor Isfandi berkata prosiding di depan jawatankuasa tatatertib UIA berlangsung hari ini.

Bagaimanapun dalam kenyataan terbarunya, beliau menyatakan tarikh sebenar perbicaraan itu pada 7 April, jam tiga petang.

Selain Meor Isfandi, seorang pelajar semester akhir Universiti Malaya yang memimpin PMN disiasat polis minggu lalu berhubung satu kenyataannya di kawasan parlimen Rembau - kerusi itu kini dimenangi naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Azlan Zainal, presiden penaja PMN, memberitahu Malaysiakini semalam, seorang pegawai polis berpangkat asisten supritenden datang bertemunya Isnin lalu.

Pegawai polis daripada ibu pejabat polis Negeri Sembilan ingin mendapatkan maklumat peribadinya dan juga penjelasan lanjut berhubung kenyataan akhbarnya di Dataran Senawang pada 2 Mac lalu.

Menurut Azlan, pertemuan pegawai itu dengan beliau memakan masa dua jam di pejabat ijazah dasar, Akademi Pengajian Islam - tempat beliau menuntut dalam jurusan bioteknologi dan agama.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment