01 April 2008

Khir dan Khairy Akan Berlawan

DR KHIR ADA MAHLIGAI?


Petang semalam ketika bertemu dengan seorang doktor di kliniknya bersebelahan TESCO di Pusat Bandar Puchong, ada benda yang saya perolehi di samping ubat yang diberi.

Biasanya bila bertemu dengan beliau, banyak benda yang dibualkan selepas membuat pemeriksaan kesihatan. Hari ini cerita politik pasca Pilihan Raya Umum ke-12 masih menjadi topik hangat untuk dibualkan.

Doktor itu berkata dia mempunyai seorang rakan yang bekerja sebagai arkitek di sebuah syarikat pembinaan. Menurutnya rakan beliau mendakwa bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sedang menyiapkan sebuah banglo 20 bilik di Rawang. Tempat letak keretanya di bawah tanah.

“Iya ke?”, Saya cuba meminta pengesahannya. “Betul, rakan saya itu antara yang mereka-bentuk banglo tu. Tak percaya pergilah siasat”, tambah doktor itu.

Tak kuasa saya….! Tapi yang saya tahu Dr Khir sekarang sudah ada blognya sendiri sebagai wadah komunikasi beliau dengan orang ramai, serta boleh dijadikan platform untuk menidakkan tohmahan. Entrinya pertama yang ditulis Jumaat lalu sudah mendapat komen beratus-ratus responden.

http://penaleklook.blogspot.com

Pertembungan Khairy-Khir Toyo

Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijangka mengotai janjinya untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Umno dan perebutan jawatan itu bakal menyaksikan pertembungan antara dua 'musuh tradisi' - Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan naib ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin.

"Kali ini kita akan dapat melihat kekuatan sebenar Khairy yang selama ini didakwa banyak bergantung kepada pengaruh bapa mertuanya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata seorang pemimpin Umno bahagian di Selangor.

Katanya, begitu juga dengan Dr Mohd Khir yang kini bukan lagi menjadi menteri besar Selangor dan telah melepaskan jawatan pengerusi badan perhubungan Umno Selangor.

Ditanya sama ada Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan melepaskan jawatan ketua Pemuda Umno bagi membolehkan Dr Mohd Khir berentap dengan Khairy bagi merebut jawatan tersebut, pemimpin itu berkata:

"Sebagai seorang yang berwibawa, Datuk Seri Hisham mesti mengotai janjinya selepas dipilih semula pada 2004, bahawa beliau akan memegang jawatan tersebut untuk sepenggal sahaja lagi," katanya

Mesyuarat perwakilan Umno peringkat cawangan bermula pada 17 Julai hingga 24 Ogos, dan mesyuarat peringkat bahagian pada dari 9 Oktober hingga 9 November.

Hishammuddin menjadi ketua Pemuda Umno tanpa sejak sejak tahun 2000 selepas mengambilalih jawatan tersebut daripada sepupunya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

'Padang sama rata'

Sebelum inipun, kata beliau, ramai pihak yang mahu melihatkan Dr Mohd Khir dan Khairy merentap di gelanggang terbuka untuk menguji kekuatan masing-masing dalam Umno.

Ini ekoran dakwaan bahawa Khairy telah menggunakan pihak media untuk 'menyerang' Dr Mohd Khir sewaktu beliau menjadi menteri besar Selangor.

"Sampai longkang tersumbat pun nak salahkan menteri besar (Dr Mohd Khir)... begitu jelas ada pihak yang memanipulasikan media untuk menghentam beliau... kita tahu siapa di sebaliknya," kata pemimpin itu lagi.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu, Khairy banyak bergantung kepada Abdullah untuk mengukuhkan kedudukannya dalam parti, apabila menang naib ketua Pemuda Umno tanpa bertanding serta diberi tempat bertanding di parlimen Rembau dalam pilihanraya umum lalu.

Tetapi, katanya, keadaan kini sudah berubah ekoran prestasi buruk Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu yang turut menjejaskan sokongan ahli kepada Abdullah dan Khairy sendiri.

"Kini wujud ruang untuk kedua-dua mereka - Dr Mohd Khir dan Khairy - bertanding di padang yang sama rata... yang tentunya dinanti-nantikan oleh banyak pihak," kata pemimpin itu lagi.

Malah, katanya, tidak keterlaluan jika pertandingan itu dianggap sebagai pertemuan 'buku dengan ruas'.

http://www.malaysiakini.com

sebelum ini

Khir Toyo sedia tanding Ketua Pemuda Umno

SELEPAS bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden, kini bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pula mengesahkan kesediaannya untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Mohd Khir berkata, beliau sedia bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan Umno Disember ini.

Katanya, ini berdasarkan kepada sokongan akar umbi yang mahukan beliau bertanding jawatan berkenaan.

Mohd Khir berkata, jawatan itu ini tidak memerlukan had umur dan mereka yang mendapat pencalonan boleh bertanding.

"Had umur (40 tahun) hanya dikenakan bagi jawatan naib ketua Pemuda dan jawatan-jawatan di bawahnya," tambahnya.
Dr Mohd Khir berkata, beliau tidak akan bertanding mempertahan jawatan Majlis Tertinggi, jika beliau mengambil keputusan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Jawatan ketua Pemuda Umno disandang oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, tanpa bertanding sejak tahun 2000.


Ini dianggap sebagai perkembangan yang cukup menarik kerana ia mungkin menyaksikan pertembungan antara Dr Mohd Khir dengan menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini, selepas dipilih semula tanpa bertanding pada 2004, Hishammuddin telah dilaporkan berkata bahawa beliau akan memegang jawatan tersebut untuk satu penggal sahaja.

Sambutan menggalakkan

Selepas itu, beliau akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Khairy.

Sekiranya, Hishammuddin tidak mahu melepaskan jawatan tersebut, maka beliau akan berdepan dengan cabaran Dr Mohd Khir.

Sebelum pemilihan Umno pada 2004, nama Dr Mohd Khir disebut-sebut akan dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya Dr Mohd Khir bertanding kerusi MT dan menang dengan undi terbanyak.

Ketika itu, beliau merupakan pengerusi badan perhubungan Umno Selangor.

Selepas kekalahan BN Selangor dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, beliau telah melepaskan jawatan tersebut yang kini disandang oleh Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Menurut Dr Mohd Khir berkata, daripada tinjauan yang dibuat, hasratnya itu mendapat sambutan menggalakkan di kalangan ahli pergerakan tersebut.

http://www.detikdaily.net

No comments:

Post a Comment